Pengarah Pilihan Raya Parti Wawasan Negara Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard bercakap kepada pemberita pada sidang media di Bilik Gerakan Utama Parti Wawasan Negara di Taman Bukit Kepayang, Seremban, hari ini.

SEREMBAN – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkemungkinan bakal disingkirkan daripada Perikatan Nasional (PN) susulan tindakannya bertanding menentang calon gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri Sembilan, 1 Ogos ini.

Pengarah Pilihan Raya Parti Wawasan Negara bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin berkata, tindakan Bersatu meletakkan calon di beberapa kerusi yang turut ditandingi calon PN menunjukkan parti itu tidak lagi berfungsi sebagai sebahagian daripada gabungan berkenaan, sebaliknya mempunyai agenda politik tersendiri.

“Bersatu bukan lagi sebahagian daripada PN. Saya percaya Bersatu akhirnya akan dipecat daripada PN kerana mereka bertanding melawan calon-calon PN sendiri.

“Kalau mereka benar-benar mahu menumbangkan kerajaan negeri, mereka sepatutnya bekerjasama dengan gabungan pembangkang.

“Bersatu tidak sepatutnya bertanding sehingga memecahkan undi,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama Parti Wawasan Negara di Taman Bukit Kepayang, di sini, hari ini.

Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Chegubard menegaskan, tindakan Bersatu hanya meletakkan calon di 24 dari 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) juga menimbulkan persoalan mengenai matlamat sebenar parti itu dalam PRN kali ini.

“Mereka bertanding 24 kerusi sahaja. Kalau benar-benar mahu menjadi kerajaan, kenapa tidak bertanding semua 36 kerusi?

“Kalaupun mereka menang satu atau dua kerusi, mereka tetap tidak mampu membentuk kerajaan. Jadi pengundi berhak mengetahui apakah perancangan sebenar Bersatu selepas pilihan raya,” katanya.

Chegubard turut mendakwa Bersatu perlu menjelaskan kepada rakyat sama ada parti itu bercadang menjadi pembangkang atau akan bekerjasama dengan kerajaan sekiranya gagal memperoleh majoriti kerusi.

“Mereka perlu berterus terang kepada pengundi. Jangan di hadapan rakyat bercakap lain, tetapi selepas pilihan raya mengambil pendirian yang berbeza.

“Pengundi berhak mengetahui hala tuju parti itu,” katanya.

Dalam pada itu, Chegubard turut mendakwa Bersatu kini berdepan krisis dalaman sehingga tidak lagi mampu mengadakan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) kerana didakwa gagal memenuhi korum.

Beliau mengaitkan perkara itu dengan siri peletakan jawatan dan pemecatan beberapa pemimpin parti sebelum ini yang menurutnya telah menjejaskan struktur kepimpinan Bersatu.

“Dengan siri peletakan jawatan dan pemecatan yang berlaku, saya difahamkan mereka kini berdepan masalah untuk memenuhi korum mesyuarat di peringkat pusat.

“Bagaimana sebuah parti yang menghadapi keadaan sedemikian mahu meyakinkan rakyat bahawa mereka mampu mentadbir negeri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast