KUANTAN – Dua lelaki ditahan kerana memproses dan menjual air ketum dalam serbuan berasingan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara Kuantan di Felda Sungai Panching Utara dan Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), di sini.
Komander Briged Tenggara PGA, SAC Ahmad Radzi Hussain berkata, tangkapan dibuat susulan serbuan menerusi Op Bersepadu MITRA serentak di beberapa lokasi berisiko tinggi di negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan bermula 21 hingga 23 Julai baru-baru ini.
“Turut dirampas ialah pelbagai barangan yang dipercayai digunakan bagi aktiviti memproses dan menjual air ketum, termasuk 74 liter air ketum, 8.5 kilogram daun ketum serta pelbagai peralatan pemprosesan dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM3,740.00.
“Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek berusia 35 tahun dan 42 tahun dipercayai aktif menjalankan kegiatan penjualan air ketum di sekitar daerah Kuantan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ahmad Radzi, suspek pertama mengaku memproses dan menjual air ketum di sekitar Felda Sungai Panching dengan harga RM10.00 bagi setiap bungkusan menggunakan daun ketum yang diperoleh daripada kebun milik keluarganya sendiri.
Katanya, suspek turut mengakui menjalankan kegiatan tersebut sejak Februari 2026.
“Sementara itu, suspek kedua pula mengaku terlibat dalam kegiatan penjualan air ketum sejak tahun 2018 sebagai sumber pendapatan sampingan.
“Suspek memperoleh bekalan daun ketum daripada seorang individu tempatan, manakala pelanggan utamanya terdiri daripada nelayan tempatan yang mendapatkan bekalan seawal jam 5.00 pagisebelum hasil jualan habis dipasarkan pada hari yang sama,” jelasnya lagi.
Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan semua tangkapan serta barang kes telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette















