PORT DICKSON – Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berpandangan kawasan Linggi di sini, turut mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan, selain dimajukan sebagai kawasan pelabuhan dan perindustrian.
Beliau yang juga calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi berkata, antara lokasi yang boleh dijadikan tarikan pelancongan adalah di kawasan Sungai Linggi.
Jelas beliau, menerusi perancangan itu, jeti sedia ada di Sungai Linggi akan dinaik taraf supaya menjadi sebuah dataran yang boleh menarik ramai pengusaha menjalankan aktiviti ekonomi di kawasan tersebut.

“Jika dulu kita hanya tingkatkan di kawasan Pengkalan Kempas, tapi selepas ini kita akan mulakan pula di Tanjung Agas sebab Sungai Linggi pun bermula di situ.
“Selepas pillihan raya negeri ini kita akan mulakan supaya jeti yang dinaik taraf itu dapat disediakan,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Tambah Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, rancangan menaik taraf jeti Sungai Linggi itu juga dapat membantu para nelayan mengembangkan ekonomi mereka.
Apatah lagi, ujarnya, cabaran untuk para nelayan ke luar menangkap ikan di laut kini juga bukan sesuatu yang mudah, justeru mereka diharapkan dapat beralih dalam mengusahakan ekonomi baharu berasaskan industri pelancongan.

“Jeti itu nanti bukan sahaja boleh digunakan untuk menangkap ikan atau udang, tetapi boleh menjadi pangkalan kepada pelancong untuk melihat sendiri keindahan Sungai Linggi,” katanya.
Sebelum ini, Aminuddin turut mengumumkan rancangan pembinaan pelabuhan baharu, Midport yang berteraskan teknologi kecerdasan buatan (AI) di Pasir Panjang, di sini.
Jelasnya, projek itu bukan sahaja melibatkan pembangunan sebuah pelabuhan baharu, malah turut disokong dengan pembangunan kawasan perindustrian seluas 1,400 ekar yang dijangka menarik kemasukan pelaburan serta mewujudkan ekosistem ekonomi baharu di sekitar Port Dickson.
Malah, beliau turut menyifatkan rancangan itu sebagai game changer di DUN Linggi khususnya di Pasir Panjang dengan adanya sebuah pelabuhan baharu, AI Port yang pertama di negara ini. – MalaysiaGazette

















