KUALA LUMPUR – Rakyat Negeri Sembilan berhak menikmati kempen yang membincangkan perkara yang benar-benar mempengaruhi kehidupan mereka seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, perumahan, pendidikan, kesihatan, pembangunan setempat dan masa hadapan anak-anak.
Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan, Barisan Nasional (BN) tidak memerlukan politik yang menakutkan-nakutkan rakyat untuk memperoleh sokongan kerana parti itu menawarkan kestabilan, pengalaman, kesederhanaan dan sebuah negara yang memberikan tempat kepada setiap warganegara.
“Kerjasama antara UMNO, MCA, MIC serta parti-parti komponen BN membuktikan bahawa kestabilan negara tidak lahir daripada politik kebencian tetapi daripada keupayaan rakyat yang berbeza untuk duduk, berunding dan membina masa depan bersama.
“Itulah jadi diri BN sejak dahulu’” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Disebabkan itu, Azalina menjelaskan, kenyataan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, bahawa ‘Cina ada China, India ada India, Kemboja ada Kemboja, Melayu hanya ada Malaysia’ tidak boleh dipandang ringan.
Ini kerana retorik sedemikian memberikan gambaran seolah-olah rakyat Malaysia berketurunan Cina dan India mempunyai tanah air lain, sedangkan hanya orang Melayu benar-benar memiliki Malaysia.
“Hakikatnya, bagi jutaan rakyat Malaysia berketurunan Cina dan India, Malaysia bukan tempat persinggahan. Malaysia ialah tanah air mereka,” ujarnya.
Tambahnya, ini turut termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kedudukan sah setiap warganegara tanpa mengira keturunan dan mereka berhak menjalani kehidupan aman serta bermaruah.
”BN ialah rumah bersama seluruh rakyat Malaysia. Kita tidak akan membenarkan sesiapa merobohkan rumah ini demi keuntungan politik sementara,” katanya lagi. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
















