PORT DICKSON – Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chuah, Datuk Yew Boon Lye mahu memperkasa aspek kesihatan penduduk khususnya dalam kalangan warga emas sekiranya terus diberi kepercayaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Menurutnya, antara yang dirancang adalah mewujudkan `kem perubatan’ iaitu program yang menjurus kepada kesedaran dan pemeriksaan kesihatan yang akan dilaksanakan di seluruh DUN Chuah.
Jelasnya, menerusi program itu, para doktor daripada hospital atau klinik kerajaan akan dipanggil untuk memberikan taklimat kesedaran kesihatan selain pemeriksaan asas dalam kalangan rakyat.
“Sebelum ini kita juga menyediakan kerusi roda kepada pesakit kurang berkemampuan dan sumbangan kesihatan lain dan kem perubatan ini adalah sebagai meneruskan usaha-usaha yang telah kita laksanakan,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu, Boon Lye berkata, beliau juga akan mempertingkatkan lagi program penyerahan bantuan khususnya kepada golongan warga emas.
Ujarnya, masih ramai warga emas yang tercicir daripada bantuan kerajaan atas pelbagai faktor termasuk kekangan akses kepada sumber bantuan tersebut.
Selain itu, ujarnya, beliau juga berhasrat untuk mempermudah cara dengan kerajaan supaya dapat menaik taraf sekolah-sekolah sedia ada.
“Kita pun faham DUN Chuah ini berada di kawasan yang agak pedalaman, jadi infrastruktur sekolah ada yang sudah usang atau lama.
“Jadi kita mahu menaik taraf sekolah-sekolah ini supaya anak-anak di sini juga dapat belajar dalam suasana yang bagus dan kondusif,” katanya. – MalaysiaGazette

















