Ketua DHPP Pusat, Kumaresan Baby Kalidawson

SEREMBAN – Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) mempertahankan kenyataan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dengan mendakwa ucapannya telah dipetik di luar konteks sehingga mencetuskan pelbagai persepsi dalam kalangan masyarakat.

Ketuanya, Kumaresan BK berkata, kenyataan yang menyebut ‘Cina ada China, India ada India’ tidak seharusnya dimanipulasi seolah-olah Menteri Besar Kedah itu merujuk kepada masyarakat Cina dan India yang merupakan rakyat Malaysia.

Menurutnya, sebagai sebuah negara berbilang kaum, semua pihak memahami rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai latar belakang.

Ini termasuk Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain yang mempunyai hak sama untuk hidup, bekerja serta menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.

Katanya, kenyataan itu perlu dilihat dalam konteks keseluruhan ucapan dan bukannya dipetik secara terasing sehingga mengundang salah faham serta mencetuskan polemik.

“Sebarang perbezaan pandangan hendaklah dibincangkan secara matang dan berlandaskan fakta, bukannya dijadikan bahan untuk mencetuskan sentimen perkauman atau perpecahan dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut berpandangan gesaan supaya pihak berkuasa menyiasat atau mengambil tindakan terhadap Sanusi hanya berdasarkan petikan kenyataan yang telah ditafsirkan mengikut sudut tertentu perlu dipertimbangkan secara bertanggungjawab.

Katanya, perbezaan politik tidak seharusnya menjadi alasan untuk menggugat keharmonian rakyat atau mengeruhkan hubungan antara kaum yang sekian lama dipupuk di negara ini.

Menurut Kumaresan, DHPP kekal komited memperkukuhkan hubungan antara masyarakat pelbagai kaum dan agama serta percaya Malaysia adalah milik bersama seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak menghentikan budaya memanipulasi kenyataan demi kepentingan politik sempit, sebaliknya mengutamakan usaha memelihara keharmonian, menghormati perbezaan serta meletakkan kepentingan rakyat dan negara sebagai keutamaan.

“Jangan kerana perbezaan politik, keharmonian rakyat menjadi taruhan,” tegasnya. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

DAP gesa polis siasat Sanusi, bimbang retorik perkauman cetus ketegangan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast