Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Ramkarpal Singh.

SEREMBAN – DAP menggesa pihak berkuasa menyiasat segera Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor susulan kenyataannya ketika berkempen di Negeri Sembilan yang didakwa berbaur perkauman dan boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

Pengerusi Biro Undang-Undang Kebangsaan DAP yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh berkata, kenyataan Menteri Besar Kedah itu bukan sahaja tidak sensitif terhadap masyarakat bukan Melayu.

Malah telah memberi gambaran seolah-olah rakyat berketurunan India dan Cina tidak mempunyai tempat di Malaysia kerana boleh kembali ke negara asal masing-masing.

Menurutnya, kenyataan sedemikian jelas bercanggah dengan semangat saling menghormati dan persefahaman antara kaum yang sekian lama menjadi asas kepada pembentukan negara ini.

Beliau merujuk kenyataan Sanusi ketika berucap pada ceramah di Jempol yang menyatakan orang Melayu hanya mempunyai Tanah Melayu sebagai tanah air mereka, manakala orang India mempunyai India dan orang Cina mempunyai China sebelum mengajak Pas serta UMNO kembali bersatu bagi mempertahankan bangsa dan agama.

Ramkarpal berkata, kenyataan itu bukan sesuatu yang berlaku secara kebetulan kerana ia dibuat hanya beberapa hari selepas Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengeluarkan kenyataan yang didakwa memberi gambaran masyarakat bukan Melayu sebagai ‘pendatang’.

“Retorik perkauman seperti ini tidak mempunyai tempat dalam sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia dan jika dibiarkan tanpa tindakan, ia berpotensi mencetuskan ketegangan kaum.

“Ia perlu dikecam sekeras-kerasnya kerana boleh menghakis semangat perpaduan yang sekian lama menjadi asas keharmonian negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menggesa parti komponen Barisan Nasional (BN), khususnya MIC dan MCA, menyatakan pendirian secara terbuka terhadap kenyataan Pas memandangkan isu berkenaan boleh memberi kesan besar kepada hubungan antara kaum.

Menurutnya, gesaan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran supaya BN bergerak secara solo tidak mencukupi untuk meredakan kebimbangan selagi UMNO tidak mengecam kenyataan Sanusi secara terbuka.

Katanya, sikap Pas yang terus memainkan sentimen perkauman, ditambah dengan keengganan UMNO menegur sekutunya, menimbulkan kebimbangan terhadap hala tuju kerjasama kedua-dua parti itu, khususnya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Sehubungan itu, Ramkarpal menggesa polis dan pihak berkuasa berkaitan memulakan siasatan terhadap Sanusi dengan kadar segera bagi mengelakkan kenyataan seumpama itu berulang sepanjang tempoh kempen pilihan raya sehingga boleh menjejaskan keharmonian antara kaum di negara ini.

Sementara itu, Vigneswaran sebelum ini turut menyelar kenyataan Sanusi dan menyifatkannya sebagai tidak bertanggungjawab serta mampu memecah-belahkan masyarakat berbilang kaum.

Beliau juga menggesa BN bergerak secara solo tanpa sebarang kerjasama kerana yakin gabungan itu masih mampu meraih sokongan rakyat daripada semua kaum tanpa perlu bergantung kepada parti yang memainkan sentimen perkauman. -MalaysiaGazette

Kenyataan Sanusi bukti wajah sebenar politik toksik Pas – Syahredzan

Kami bukan rakyat India atau China, Vigneswaran tempelak Sanusi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast