KUALA LUMPUR – Lelaki yang terlibat kes cubaan samun sebuah van syarikat keselamatan dan melarikan pump gun dalam kejadian di hadapan sebuah bank di Bukit Tinggi, Klang direman enam hari bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, permohonan reman terhadap suspek tempatan berusia lingkungan 20-an itu dibuat di Mahkamah Klang, semalam.
“Tempoh reman ke atas suspek dibenarkan selama enam hari sehingga 29 Julai depan oleh pihak mahkamah.
“Bagaimanapun, siasatan lanjut berhubung kes itu masih sedang dijalankan,” katanya secara ringkas hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN
Terdahulu media melaporkan, suspek yang terkibat cubaan samun wang tunai RM82,000 telah ditahan sekitar Shah Alam dalam satu operasi khas kira-kira jam 11 pagi, kelmarin.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar melaporkan, polis turut merampas semula selaras pump gun jenama Mossberg bersama sebutir peluru 12 bore yang dilarikan ketika kejadian.
Selain itu, polis juga merampas sepucuk pistol pelepas olahraga jenama Ekol Lite bersama 48 butir peluru blank.
Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette
















