SEREMBAN – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr. Samsuri Mokhtar menegaskan manifesto gabungan itu bukan sekadar dokumen kempen pilihan raya sebaliknya amanah yang wajib dilaksanakan sekiranya diberi mandat mentadbir Negeri Sembilan.
Beliau berkata, setiap tawaran yang dikemukakan dalam manifesto PN disusun berasaskan kajian menyeluruh terhadap keperluan rakyat dan kemampuan sebenar kerajaan negeri bukannya janji populis yang sukar ditunaikan.
“Manifesto ini bukan sekadar sebuah dokumen. Ia adalah amanah dan komitmen kepada rakyat.
“Kita akan berusaha bersungguh-sungguh melaksanakan setiap tawaran yang dijanjikan demi kesejahteraan seluruh rakyat Negeri Sembilan,” katanya ketika melancarkan Manifesto PN bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di Kompleks Pas Negeri Sembilan di sini malam ini.

Menurut beliau, mentadbir sesebuah negeri memerlukan perancangan yang teliti, kepimpinan berwibawa serta keupayaan membuat keputusan yang mampu menjamin masa depan rakyat.
Katanya, hasil penelitian PN mendapati Negeri Sembilan masih berdepan pelbagai cabaran yang memerlukan penyelesaian segera, termasuk isu pembangunan ekonomi, peluang pekerjaan, kos sara hidup serta penyampaian perkhidmatan awam.
“Manifesto ini disediakan berdasarkan realiti sebenar yang dihadapi rakyat.
“Fokus kita adalah memenuhi kebajikan rakyat, memperkukuh ekonomi negeri, merancakkan pertumbuhan ekonomi secara inklusif, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti, menyediakan lebih banyak rumah mampu milik serta meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan awam,” katanya.
Samsuri turut mengingatkan rakyat kini semakin bijak menilai setiap janji yang dibuat oleh ahli politik.
Menurutnya, manifesto yang hanya dipenuhi janji manis tetapi tidak berpaksikan kemampuan sebenar akhirnya hanya akan mengecewakan rakyat.
“Kita semua tahu setiap janji mestilah berlandaskan realiti dan kemampuan sebenar. Jangan hanya bercakap perkara yang sedap didengar tetapi akhirnya tidak mampu dilaksanakan.
“Manifesto yang tidak berpijak di bumi nyata akhirnya hanya menjadi racun kepada keyakinan rakyat terhadap kerajaan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pemimpin perlu bertanggungjawab terhadap setiap komitmen yang dibuat kepada rakyat.
“Bak kata pepatah Melayu, kerbau dipegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya, ini sebagai peringatan bahawa setiap janji politik akan dinilai oleh rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri yang bakal dibentuk perlu mengutamakan pembangunan mampan, tadbir urus berintegriti dan keseimbangan kewangan supaya manfaatnya dapat dinikmati generasi akan datang.
Katanya, PN komited membina sebuah pentadbiran yang lebih cekap, stabil dan berorientasikan masa depan dengan memberi penekanan terhadap penggunaan teknologi, pembangunan modal insan serta pengurusan kewangan yang berhemah.
Beliau turut menyifatkan kerjasama politik yang terjalin bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan sebagai manifestasi kematangan politik yang mengutamakan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan parti.
“Kerjasama ini lahir daripada semangat baharu serta kesedaran politik untuk meletakkan kepentingan rakyat dan negeri mengatasi segala-galanya.
“Ia dicapai menerusi siri perbincangan yang terbuka dan penuh rasa tanggungjawab demi memastikan Negeri Sembilan mempunyai sebuah kerajaan yang lebih stabil, berwibawa dan mampu membawa perubahan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















