JEMPOL – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Jeram Padang, Manivanan Gowin tampil dengan yang membawa mesej jelas bahawa tiada mana-mana komuniti di kawasan itu akan dipinggirkan jika diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Manifesto bertemakan Pembangunan Masyarakat itu menggariskan komitmen untuk memastikan pembangunan dinikmati secara adil oleh masyarakat Melayu, Cina, India, Orang Asli serta komuniti FELDA dan FELCRA.

Menurut Manivanan, kepelbagaian kaum di Jeram Padang bukan satu cabaran, sebaliknya aset yang perlu diperkukuhkan melalui dasar pembangunan yang inklusif dan saksama.

“Setiap rakyat berhak menikmati peluang pembangunan, kemudahan asas, pendidikan, kebajikan dan ekonomi yang lebih baik tanpa mengira kaum, agama atau kawasan tempat tinggal.

“Bagi masyarakat Melayu, beliau berjanji memberi fokus kepada pembangunan kampung, peluang pekerjaan, usahawan tempatan serta penambahbaikan kemudahan awam,” katanya dalam saru kenyataan.

Komuniti India pula dijanjikan perhatian terhadap kemudahan pendidikan, pembangunan belia, rumah ibadat, peluang pekerjaan dan keusahawanan, manakala masyarakat Cina akan diberi penekanan melalui pengukuhan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS), penambahbaikan kawasan perniagaan serta usaha menarik pelaburan baharu.

Dalam masa sama, Manivanan turut mengangkat isu masyarakat Orang Asli dengan memberi jaminan bahawa penyediaan jalan raya, bekalan air, elektrik dan internet akan terus dipertingkatkan, di samping memperluaskan akses kepada pendidikan, penjagaan kesihatan dan peluang ekonomi tanpa mengabaikan hak serta budaya mereka.

Beliau turut menggariskan komitmen untuk memperjuangkan kepentingan komuniti FELDA dan FELCRA melalui pembangunan infrastruktur, jalan ladang, kemudahan awam serta peluang ekonomi kepada peneroka dan generasi kedua, selain memastikan suara mereka terus dibawa ke Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Mengakhiri manifestonya, Manivanan menegaskan pembangunan tidak boleh hanya diukur melalui pembinaan fizikal semata-mata, sebaliknya mesti diterjemahkan kepada perpaduan masyarakat, kesejahteraan rakyat dan peluang yang sama untuk semua.

Manifesto tersebut dilihat sebagai usaha PH memperkukuhkan sokongan pengundi pelbagai kaum di DUN Jeram Padang menjelang hari pengundian PRN Negeri Sembilan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast