JEMPOL – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki diingatkan supaya memberikan idea dan dasar demi kebajikan rakyat, bukannya memainkan sentimen kaum serta agama untuk meraih undi dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, G. Manivannan berkata, rakyat hari ini lebih memerlukan penyelesaian terhadap isu kebajikan dan pembangunan berbanding polemik yang memecahbelahkan masyarakat.
“Sebagai seorang peguam, saya minta Asyraf Wajdi datang sini lawan dasar dan polisi dengan saya. Lawan macam mana nak bantu kebajikan kepada rakyat Jeram Padang mahupun Negeri Sembilan.
“Jangan main politik berkauman serta politik agama, sudah-sudahlah kita bukannya di tahun 60-an. Ini tahun 2026 masih nak main agama, politik kaum ini susahlah,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette pada kempen PRN di Kampung Orang Asli Sungai Raya, Bahau, di sini hari ini.

Bekas Ahli Parlimen Kapar itu mengulas kenyataan Asyraf Wajdi kelmarin yang mengaitkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke sebagai calon Menteri Besar sekiranya beliau tewas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Tegasnya yang juga Setiausaha Politik Pejabat Presiden PKR, Undang-Undang Tubuh Negeri secara jelas menyatakan orang bukan Melayu tidak boleh menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan.
Mengulas lanjut Manivannan berkata, naratif perkauman hanya dimainkan apabila sesebuah parti sudah ketandusan idea dan gagal menawarkan dasar yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Saya rasa bila dah tak ada idea, minda tak boleh fikir, dasar tak boleh buat, polisi tak ada, dia datang dengan isu perkauman.
“Kalau saudara Asyraf Wajdi tak tahu tentang Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan, minta pandangan daripada peguam-peguam yang ada sebelum mengatakan sesuatu,” katanya. – MalaysiaGazette
















