PEKAN – Kereta hilang kawalan dipercayai menjadi punca nahas yang meragut nyawa enam sahabat dalam kejadian di kilometer 86 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan, Karak, Bentong awal pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, kejadian kira-kira jam 4.15 pagi itu turut membabitkan sebuah lori Hino dipandu lelaki berusia 31 tahun.
“Siasatan mendapati, kereta Toyota Camry dipandu lelaki berusia 25 tahun bersama lima penumpang lelaki dalam perjalanan dari arah Kuantan menuju ke Kuala Lumpur, manakala lori itu dari arah bertentangan.
“Apabila tiba di lokasi kejadian yang merupakan jalan menuruni bukit dan berselekoh, kereta itu dipercayai hilang kawalan, masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan lori berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Akibat kemalangan tersebut, Azry Akmar berkata pemandu lori mengalami kecederaan parah di bahagian kaki dan badan.
Manakala, pemandu kereta, Mugilan a/l Vraputiran, 25 bersama rakan-rakannya, Dineshvaran a/l Kumar, 22; Alaganathan a/l Krishnan, 21; Kanabati Raja a/l Arunasalam, 19; Kiishen a/l Sasi Kumar, 17 dan Paranthaman a/l Marutayah, 16 disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Kesemua mangsa yang meninggal dunia telah dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HosHAS) Temerloh untuk dibedah siasat,” katanya.
Azry Akmar berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, bomba terpaksa menggunakan peralatan menyelamat bagi mengeluarkan kesemua mangsa yang dilaporkan tersepit dalam kereta itu sebelum menyerahkan mayat kepada pihak polis. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Enam maut nahas kereta dengan lori 1 tan di Jalan Karak Lama
















