SEREMBAN – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa mahu laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji (TH) didedahkan kepada umum bagi membolehkan rakyat mengetahui perkara sebenar yang berlaku terhadap institusi itu.
Beliau berkata, pendedahan laporan berkenaan penting bagi menjawab pelbagai tuduhan yang dilemparkan terhadap Pakatan Harapan (PH) dan dirinya, khususnya berhubung proses pemulihan serta penstrukturan semula TH bagi tempoh 2018 hingga 2020.
Katanya, RCI berkenaan ditubuhkan pada 2021 ketika pentadbiran Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, manakala tempoh siasatan meliputi perkara berkaitan TH dari 2014 hingga 2020.
“Saya sendiri adalah salah seorang yang dipanggil untuk menjadi saksi bagi tempoh 2018 hingga 2020. Jadi, saya antara orang yang paling teruja untuk mengetahui kandungan laporan RCI itu.
“Ketika saya menjadi menteri dan bertanggungjawab terhadap Tabung Haji, saya juga mahu tahu apa keputusan yang terkandung dalam laporan RCI tersebut,” katanya dalam sidang media PH, di sini.
Mujahid berkata, sejak mengambil alih portfolio berkenaan pada 2018, serangan terhadap TH begitu agresif termasuk dakwaan bahawa aset institusi itu telah dijual serta tuduhan PH menjadi pihak yang merosakkan TH.
Menurutnya, beliau juga pernah berdepan tindakan undang-undang berkaitan isu berkenaan dan kedua-duanya berakhir dengan kemenangan di pihaknya.
“Saya dua kali berdepan dengan tindakan undang-undang. Satu, saya menyaman dan satu lagi saya disaman. Dalam kedua-dua kes itu, Alhamdulillah, mahkamah memberikan kemenangan kepada saya.
“Tetapi isu mengenai Tabung Haji masih dimainkan, dimomokkan dan dituduh. Saya dan PH dituduh sebagai pihak yang merosakkan Tabung Haji,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata sudah tiba masanya kebenaran mengenai TH didedahkan menerusi laporan RCI yang komprehensif, bebas dan profesional.
“Dengan terdedahnya RCI ini, kita dapat tahu apa sebenarnya yang berlaku. Adakah benar tuduhan menjual aset? Kita juga ada fakta dan maklumat tentang keadaan sebelum 2018 yang melahirkan usaha pemulihan ketika saya mengambil alih, termasuk program komprehensif untuk menyelamatkan Tabung Haji.
“Bagi saya, telah tiba masanya RCI ini didedahkan kepada awam. Kita nak tengok siapa yang betul-betul jadi dalang merosakkan Tabung Haji dan siapa yang menyelamatkan Tabung Haji,” katanya.
Mujahid pada masa sama menegaskan PH kekal komited mempertahankan TH sebagai institusi Islam yang mempunyai kepentingan besar kepada umat Islam, termasuk kira-kira 9.2 juta pendeposit.
“Ini bukan sekadar soal politik atau mempertahankan individu. Ini soal menegakkan kebenaran dan memulihkan keyakinan rakyat, khususnya orang Islam terhadap institusi terbesar seperti Tabung Haji.
“Saya harap dengan pendedahan ini, rakyat dapat menilai mana satu fakta dan mana satu auta. Jawapan itu bukan daripada mana-mana parti politik, tetapi daripada suruhanjaya diraja yang bebas, berkecuali dan profesional,” katanya.
Beliau turut menegaskan kesediaannya menerima apa sahaja dapatan laporan berkenaan, termasuk jika terdapat kesalahan yang dilakukannya ketika menerajui usaha pemulihan TH.
“Saya sebagai orang yang terlibat secara langsung bersedia untuk melihat apa kesalahan yang telah saya lakukan, kalau ada, dan apa kebaikan yang telah saya lakukan, kalau ada.
“Siapa yang menjadi dalang, siapa yang melakukan apa yang disebut sebagai ‘sakau’, siapa yang menjadi perosak dan siapa yang tidak mengikut undang-undang, ini kita tunggu,” katanya.
Mujahid berkata pendedahan laporan itu juga penting bagi menghentikan tuduhan yang selama ini digunakan untuk memburukkan PH dalam kalangan orang Melayu.
Beliau turut berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menunaikan komitmen kerajaan untuk mendedahkan laporan RCI berkenaan kepada umum.
“Telah tiba masanya laporan RCI ini didedahkan. Kita mahu kebenaran dan fakta menjadi penilaian rakyat, khususnya umat Islam, terhadap usaha yang dilakukan bagi menyelamatkan dan memulihkan Tabung Haji,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan laporan RCI mengenai TH tidak didedahkan lebih awal bagi mengelakkan keyakinan pendeposit terhadap institusi itu terjejas.
Beliau berkata, ketika kerajaan mengambil alih pentadbiran, Tabung Haji berdepan masalah serius termasuk kerugian melebihi RM10 bilion akibat penyelewengan.
Menurutnya, pendedahan laporan itu ketika keadaan Tabung Haji masih belum stabil dikhuatiri mencetuskan panik dalam kalangan pendeposit sehingga menyebabkan pengeluaran dana secara besar-besaran.
Media pada Khamis melaporkan Anwar berkata kerajaan bersedia mendedahkan laporan akhir RCI berkaitan TH dalam masa terdekat bagi membolehkan rakyat mengetahui hasil siasatan terhadap dakwaan penjualan aset strategik agensi itu.
Anwar berkata beliau akan meneliti keputusan untuk menerbitkan laporan itu bersama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, yang dijangka selewat-lewatnya pada Rabu depan. – MalaysiaGazette
















