REMBAU – Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota, Muhammad Aliff Ibrahim merancang menyediakan rumah transit warga emas bagi memastikan aspek kebajikan dan kesejahteraan itu terbela.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Ustaz Aliff, 35, berkata, dengan adanya rumah transit warga emas itu, anak-anak di DUN Kota tidak perlu bimbang meninggalkan ibu bapa mereka sekiranya terpaksa merantau mencari rezeki di luar kawasan itu.
“Sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan nanti, kami sebagai wakil rakyat di sini yang akan menjaga warga emas, ibu-ibu dan ayah-ayah mereka di sini,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Selain itu, tambah Muhammad Aliff, beliau turut merancang menyediakan kenderaan percuma kepada golongan kurang berkemampuan untuk mendapatkan rawatan di hospital.
Jelasnya, kawasan-kawasan di DUN Kota berada agak pedalaman dan jauh daripada kemudahan kesihatan menyebabkan kebanyakan pendudukan berdepan kekangan untuk mendapatkan rawatan kesihatan.
“Walaupun di Negeri Sembilan ini ada bas percuma, tapi perkhidmatan ini tidak menyeluruh di kampung-kampung.
“Projek ini sebenarnya pernah saya laksanakan pada 2017 di bawah Taman Al-Quran, dan saya rasa projek ini perlu dibawakan juga ke DUN Kota,” katanya.

Dalam masa sama, ujarnya, beliau turut berhasrat meningkatkan aspek pembangunan di seluruh DUN Kota memandangkan kawasan itu merupakan pintuk masuk ke dua negeri iaitu Negeri Sembilan dan Melaka.
“Dari segi itu kita mahukan pembangunan yang membawa imej Negeri Sembilan dapat dilaksanakan di DUN Kota ini,” katanya.
Sementara itu, ditanya strategi beliau dalam merubah sokongan pengundi kepada PH memandangkan DUN Kota sebelum ini dimenangi Barisan Nasional (BN), Ustaz Aliff berkata, beliau yakin pengundi DUN Kota akan memilih pemimpin yang bekerja dan berkhidmat untuk mereka.
“Kita lihat selama seminggu berkempen ini, rakyat tidak lagi memilih kepada parti, tetapi mereka memilih kepada calon yang bertanding.
“Mereka sedang dan masih lagi melihat apa yang kita pernah buat, dan mereka masih merasai apa yang telah kita buat,” katanya.
Sementara itu, memetik perkongsian beliau menerusi Facebook, Ustaz Aliff berkata, keputusannya bertanding di DUN Kota juga bukan dibuat sekadar suka-suka, sebaliknya bertekad melaksanakan pelbagai pembangunan dan perubahan di kawasan itu.
Ujarnya, beliau sebelum ini juga telah turun padang bekerja dan menjayakan hasrat penduduk di DUN Kota meskipun tanpa ada kedudukan dan jawatan.
“Dari situ saya tahu, seandainya saya adalah wakil rakyat di sini lebih banyak pembangunan, lebih banyak manfaat yang boleh saya bawa di Kota.
“Dulu saya usahakan bawa mesin ATMc bina tempat rekreasi, buat mural, bangunkan Taman Al-Quran, dan macam-macam lagi gunakan sumber dan akses yang terhad.
“Sebab itulah saya bersungguh mahukan mandat dari pengundi di Dun Kota, untuk saya ada punca kuasa, ada akses dan rangkaian untuk nak bawa lebih banyak manfaat kepada masyarakat di sini.
“Jadi saya mohon sokongan dari semua pengundi di Dun Kota, saya rayu untuk berikan undi dan peluang untuk saya berkhidmat di sini,” katanya. – MalaysiaGazette
















