SEREMBAN – Angkatan Muda Keadilan (AMK) mempersoalkan naratif yang terus dimainkan Pas kononnya DAP merupakan ancaman kepada negara, sambil menyifatkan dakwaan itu sekadar propaganda politik yang tidak pernah disokong dengan fakta mahupun tindakan mengikut lunas undang-undang.
Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin berkata, jika benar DAP merupakan ancaman kepada negara seperti yang sering didakwa pemimpin Pas, sudah tentu tindakan mengharamkan parti itu telah lama diambil ketika Pas sendiri menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan mahupun sepanjang Barisan Nasional (BN) mentadbir negara selama lebih enam dekad.
“Pas hari ini gemar menuduh orang lain bermain kad perkauman. Hakikatnya, politik ketakutan terhadap kaum dan agama sudah lama menjadi modal mereka, malah sebahagian pemimpin UMNO juga pernah menggunakan pendekatan sama.
“Jangan tuduh orang lain memegang mancis kalau tangan sendiri masih berbau asap,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Beliau berkata, naratif yang dibawa Pas setiap kali pilihan raya seolah-olah menggambarkan Islam, orang Melayu dan institusi negara sedang berada dalam ancaman hanya bertujuan menimbulkan ketakutan dalam kalangan rakyat bagi meraih sokongan politik.
Menurutnya, rakyat Malaysia kini semakin matang dan mampu membezakan antara ancaman sebenar dengan propaganda yang sengaja dicipta bagi mewujudkan rasa curiga antara kaum.
“Kononnya DAP ancam negara. Kalau benar begitu, mengapa ketika Pas dan Perikatan Nasional memerintah negara, malah sepanjang lebih 60 tahun BN mentadbir negara, DAP tidak pernah diharamkan melalui proses undang-undang?
“Propaganda tidak boleh menggantikan fakta. Malaysia mempunyai sistem perundangan yang jelas.
“Jika benar sesebuah parti melanggar undang-undang atau mengancam keselamatan negara, tindakan boleh diambil mengikut peruntukan undang-undang, bukannya sekadar menjaja persepsi di pentas ceramah,” tegasnya.
Danish berkata, Pas seharusnya berhenti memainkan sentimen yang boleh menghakis keharmonian masyarakat majmuk semata-mata untuk meraih keuntungan politik ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Sebaliknya, beliau berkata, semua parti politik perlu menawarkan dasar dan penyelesaian terhadap isu yang benar-benar membelenggu rakyat seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, pelaburan, pendidikan serta pembangunan negeri.
Katanya, Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan dengan jelas kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, kedaulatan Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera.
“Perkara-perkara ini dijamin oleh Perlembagaan dan tidak berubah hanya kerana pertukaran kerajaan atau keputusan pilihan raya. Yang perlu dipertahankan hari ini ialah perpaduan rakyat, bukannya politik kebencian yang memecah-belahkan masyarakat.
“Rakyat Negeri Sembilan tidak memerlukan ahli politik yang terus menjual ketakutan. Mereka mahukan pemimpin yang mampu menawarkan penyelesaian kepada masalah harian, menjana ekonomi serta membawa kestabilan demi masa depan negeri,” katanya.
Beliau berkata, AMK yakin pengundi Negeri Sembilan akan membuat pilihan berdasarkan rekod pentadbiran, dasar dan prestasi sesebuah parti, bukannya dipengaruhi retorik perkauman atau naratif yang sengaja diwujudkan untuk menakut-nakutkan rakyat menjelang hari pengundian. -MalaysiaGazette
















