Calon PH DUN Johol, Zailan Munawir menziarahi penduduk Kampung Orang Asli Senibai.

JOHOL – Isu jalan, perumahan serta kemudahan asas yang didakwa masih tidak banyak berubah sejak beberapa tahun lalu akan menjadi antara keutamaan Pakatan Harapan (PH) di DUN Johol sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Calon PH DUN Johol, Zailan Munawir berkata, hasil siri kempen dari rumah ke rumah yang kini memasuki pusingan ketiga mendapati rungutan mengenai keadaan jalan, rumah penduduk dan kemudahan asas terus menjadi antara aduan utama masyarakat, termasuk di Kampung Orang Asli Senibai.

Menurutnya, beliau kecewa apabila kembali ke kawasan yang pernah diselaraskannya sebelum ini dan mendapati keadaan penduduk hampir tidak berubah selepas hampir dua tahun.

“Saya pernah menjadi penyelaras di kawasan ini. Apabila kembali semula, saya lihat keadaannya masih sama.

“Jalan masih seperti dahulu, rumah penduduk juga tidak banyak berubah walaupun terdapat pelbagai bentuk bantuan kerajaan yang boleh dimanfaatkan,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui selepas menyantuni penduduk Kampung Orang Asli Senibai.

Zailan Munawir ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Beliau berkata, antara aduan yang sering diterima ialah berkaitan keadaan rumah penduduk memerlukan pembaikan, namun permohonan yang dikemukakan didakwa masih belum mendapat perhatian.

“Ada penduduk memaklumkan pihak tertentu datang mengambil gambar rumah mereka untuk tujuan bantuan, tetapi selepas itu tiada tindakan susulan sehingga menyebabkan mereka berasa kecewa,” ujarnya.

Zailan berkata, sekiranya diberi kepercayaan menjadi wakil rakyat Johol, beliau akan memberi tumpuan kepada penyelesaian isu asas secara berperingkat, khususnya membabitkan jalan, perumahan dan kemudahan awam.

Beliau berkata, usaha itu penting bagi memastikan penduduk di seluruh Johol, termasuk masyarakat orang asli, dapat menikmati kemudahan yang lebih selesa.

Dalam masa sama, katanya, aspek pendidikan generasi muda turut menjadi antara agenda yang akan diberi perhatian sekiranya dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Anak-anak generasi kedua perlu terus bersekolah dan diberikan peluang pendidikan yang lebih baik kerana pendidikan merupakan kunci untuk mengubah kehidupan mereka pada masa depan,” katanya lagi.

Beliau turut berharap lebih ramai anak muda Johol yang kini berhijrah ke bandar untuk bekerja dapat kembali menyumbang kepada pembangunan kawasan itu sekiranya lebih banyak peluang ekonomi berjaya diwujudkan.

Mengulas perkembangan kempen, Zailan berkata, gerak kerja PH berjalan lancar mengikut perancangan dengan pasukan kini memasuki pusingan ketiga bertemu pengundi sebelum memasuki minggu terakhir berkempen.

Katanya, jentera PH akan terus memperhebatkan kempen bagi memastikan setiap lokaliti di Johol dapat disantuni selain mendengar sendiri masalah yang dihadapi penduduk sebelum hari pengundian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast