Aidi Sham Mohamed.

KUALA LUMPUR – Penduduk di sekitar Putrajaya diminta agar tidak panik sekiranya mendengar bunyi letupan susulan pelaksanaan tembakan meriam sempena Sambutan Hari Pahlawan 2026 di Dataran Pahlawan Negara, Presint 1, Putrajaya pada 29 dan 31 Julai ini.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Aidi Sham Mohamed berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan melaksanakan tembakan meriam sebagai sebahagian daripada istiadat rasmi sempena sambutan berkenaan termasuk 21 das tembakan pada hari kemuncak sambutan, 31 Julai.

Menurut beliau, sesi raptai penuh akan diadakan pada 29 Julai (Rabu) bermula pukul 8.30 pagi di lokasi sama dengan dua das tembakan meriam, manakala Hari Pahlawan pada 31 Julai (Jumaat) turut bermula pada pukul 8.30 pagi dengan 21 das tembakan.

“Orang ramai khususnya penduduk di sekitar Putrajaya dinasihatkan supaya tidak panik sekiranya mendengar bunyi letupan meriam kerana ia merupakan sebahagian daripada istiadat rasmi Sambutan Hari Pahlawan Tahun 2026,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi memastikan kelancaran perjalanan istiadat, penutupan sementara dan lencongan lalu lintas akan dilaksanakan mulai pukul 7 pagi hingga 10 pagi pada hari sambutan.

Antara laluan yang terlibat ialah Jalan Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Jalan Lebuh Perdana Timur serta laluan sekitar Kompleks E.

Sehubungan itu, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal, menggunakan laluan alternatif dan mematuhi arahan anggota polis serta petugas lalu lintas yang ditempatkan di lokasi.

Aidi Sham berkata, Polis Daerah Putrajaya turut merakamkan penghargaan atas kerjasama dan kesabaran orang ramai sepanjang pelaksanaan Sambutan Hari Pahlawan 2026 bagi memastikan istiadat berlangsung dalam keadaan selamat, teratur dan lancar.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan menerusi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya di 03-8886 2222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast