JEMPOL – Penduduk di kawasan FELDA, FELCRA, penempatan Orang Asli dan kampung pedalaman di Jeram Padang bakal menikmati akses kesihatan yang lebih mudah apabila calon Pakatan Harapan (PH), Manivanan Gowin, berikrar memperkenalkan Klinik Bergerak DUN Jeram Padang jika diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Manifesto ketujuh beliau itu memberi fokus kepada usaha membawa perkhidmatan kesihatan terus ke pintu rumah rakyat, termasuk pemeriksaan kesihatan, saringan penyakit, rawatan asas serta lawatan doktor pakar secara berkala ke kawasan yang sukar mendapat akses.

Menurut Manivanan, masih ramai penduduk terpaksa menempuh perjalanan jauh dan menunggu lama untuk mendapatkan rawatan, malah ada yang tidak mengambil ubat, takut berjumpa doktor atau hanya mendapatkan rawatan apabila penyakit sudah berada pada tahap serius.

“Kita tidak mahu rakyat hanya mendapatkan rawatan apabila sudah terlambat.

Kesihatan adalah hak setiap rakyat dan perkhidmatan kesihatan mesti sampai kepada mereka, bukan rakyat yang terus dibebankan untuk mencarinya,” katanya.

Beliau berkata, klinik bergerak itu akan digerakkan ke seluruh DUN Jeram Padang dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hospital, klinik kesihatan, doktor pakar, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta sektor swasta.

Selain itu, beliau turut berjanji memperbanyakkan program saringan kesihatan percuma, pemeriksaan berkala dan kempen kesedaran mengenai penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, darah tinggi, penyakit jantung dan kanser, di samping memberi perhatian kepada kesihatan mental, wanita, warga emas serta kanak-kanak.

Menurutnya, masyarakat yang sihat merupakan asas kepada pembangunan sesebuah kawasan dan beliau komited memastikan tiada lagi penduduk Jeram Padang yang tercicir daripada menerima perkhidmatan kesihatan hanya kerana faktor jarak atau lokasi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast