Sebuah lori sampah terbalik selepas terbabas di Plaza Tol Bukit Tagar, semalam. Foto JBPM Selangor

KUALA LUMPUR – Seorang penumpang maut selepas lori sampah yang dinaiki terbabas hingga terjunam ke dalam gaung dan terbalik di Kilometer 419.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Utara, dekat susur keluar Plaza Tol Bukit Tagar, semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan M Manimaran berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu sekitar jam 5.32 petang melibatkan seorang pemandu lelaki berusia 41 tahun bersama dua kelindan berumur 24 dan 32 tahun.

“Siasatan awal mendapati, dalam kejadian jam 5.10 petang lori sampah berkenaan dalam perjalanan dari Sungai Besi, Kuala Lumpur ke tempat pembuangan sampah Bukit Tagar.

“Apabila sampai di susur keluar tol, kenderaan berat itu hilang kawalan sehingga merempuh penghadang jalan sebelum terjunam ke dalam gaung dan terbalik  ketika melalui selekoh.

“Lori itu kemudian menghempap kelindan lori berusia 24 tahun yang berada di tempat duduk penumpang sebelah kiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Manimaran, seorang lagi kelindan yang berada di tempat tidur lori cedera ringan dan dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan.

Beliau berkata, akibat kemalangan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian kerana parah di kepala.

“Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast