Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berucap pada Program Kesejahteraan Warga Angkatan Tentera Malaysia di Institut Kejuruteraan Tentera Darat (IJED), Port Dickson, Negeri Sembilan. Foto SADIQ SANI, 26 JULAI 2026.

PORT DICKSON – Kerjasama Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan bukan kontrak yang ditandatangani `sampai mati’.

Sebaliknya, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia hanyalah kerjasama atas dasar persefahaman antara parti politik bagi membolehkan Kerajaan Persekutuan dibentuk.

Sehubungan itu, ujarnya semua pihak perlu memahami bahawa kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan tersebut tidak mengikat mana-mana parti politik.

“Apabila kita wujudkan kerajaan di peringkat Pusat, itu adalah satu kerjasama yang dipersetujui, ditandatangani untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

“Itu bukan satu tandatangan atau kontrak sampai mati.

“Ia hanyalah satu tandatangan yang bersetuju untuk mewujudkan kerajaan di peringkat pusat dan sepatutnya tidak mengikat.

“Dan sepatutnya semua maklum dan faham keadaan memaksa kita untuk bersama dan kita bersetuju untuk bersama menyelamatkan negara supaya mempunyai kerajaan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Program Kesejahteraan Warga ATM, Zon Selatan di Padang Institut Kejuruteraan Tentera Darat, Kem Sirusa di sini, hari ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin beramah mesra bersama warga ATM pada Program Kesejahteraan Warga Angkatan Tentera Malaysia di Institut Kejuruteraan Tentera Darat (IJED), Port Dickson, Negeri Sembilan. Foto SADIQ SANI, 26 JULAI 2026.

Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan ditanya berkenaan serangan yang dibuat pihak tertentu sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ketika ini yang menyifatkan BN tidak `mengenang budi’.

Ia berikutan BN memilih menentang Pakatan Harapan (PH) sedangkan dalam masa sama gabungan parti itu masih berada dalam Kerajaan Pusat.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, keputusan BN bertanding dalam mana-mana pilihan raya termasuk menentang PH aadalah bagi memulangkan semula mandat dan membolehkan rakyat membuat keputusan parti yang diyakini mereka untuk mengemudi negara.

“Maka atas sebab itulah pelbagai parti menawarkan diri untuk balik ke rakyat dan biarlah rakyat buat keputusan dalam soal ini,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast