SEREMBAN – Perikatan Nasional (PN) mengesahkan jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan telah dipersetujui lebih awal dan bakal diterajui Barisan Nasional (BN) sekiranya gabungan itu berjaya mengambil alih pentadbiran negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Ketua Penerangan PN, Tan Sri Annuar Musa berkata, persefahaman itu dicapai hasil rundingan panjang antara kedua-dua gabungan sebelum kerjasama politik itu dimeterai.
Menurut beliau, atas persetujuan tersebut, PN turut menerima sepenuhnya manifesto BN sebagai manifesto induk kerajaan negeri yang bakal dibentuk.
“Kerajaan Negeri Sembilan yang akan datang bakal dipimpin oleh BN. Tidak timbul persoalan jalur Menteri Besar daripada BN kerana perkara itu telah dipersetujui sejak awal.
“Manifesto BN kita terima sebagai manifesto utama, manakala manifesto PN menjadi manifesto tambahan bagi memperkukuhkan tawaran sedia ada,” katanya pada sidang media di Pusat Media PN di Taman Lavender Heights, di sini, hari ini.
Annuar juga berkata, jawatankuasa bersama BN dan PN turut menyemak kandungan kedua-dua manifesto bagi mengelakkan pertindihan dasar.
Katanya, sebanyak 14 tawaran tambahan yang diumumkan PN bukan manifesto baharu, sebaliknya bertujuan memperkayakan tawaran BN.
“Manifesto itu sebenarnya sudah diadun lebih awal. Apa yang bertindih telah dikeluarkan dan kita hanya menambah perkara yang belum disentuh.
“Apabila kerajaan dibentuk nanti, kedua-dua dokumen ini akan menjadi janji rasmi kerajaan BN-PN,” katanya.
Tambah beliau, kerjasama politik itu lahir daripada keperluan menyatukan parti-parti yang mempunyai aspirasi hampir sama demi menawarkan alternatif kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Semua pemimpin dalam BN-PN jangan tidak mudah melatah terhadap isu yang sengaja dimainkan pihak tertentu bagi menggugat kerjasama tersebut.
“Kita sedar ramai yang gusar melihat permuafakatan BN dan PN ini. Sebab itu pelbagai isu dimainkan bagi memecah-belahkan kita.
“Tetapi kerjasama ini bukan berlaku dalam tempoh sehari. Ia hasil rundingan yang panjang dan dibuat demi menyelamatkan politik negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















