Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz bersama calon PH N.33 Sri Tanjung, Datuk Dr G Rajasekaran menziarahi kematian pada sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Kampung Paya, Port Dickson. Foto SADIQ SANI, 26 JULAI 2026.

PORT DICKSON – Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menyangkal dakwaan kononnya wujud unsur sabotaj terhadap mana-mana calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) oleh jentera parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ketika ini.

Menurutnya, pemerhatian beliau ketika turun membantu kempen jentera PKR termasuk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilah; Sungai Lui; Seri Menanti dan Gemas sebelum ini, termasuk di Sri Tanjung hari ini, tidak memperlihatkan wujudnya elemen perpecahan dalam kalangan jentera parti itu.

“Biasalah kadang-kadang kita dengar cakap-cakap seperti ini, tetapi dalam perjumpaan saya bersama Ketua-ketua Cabang PKR di seluruh Negeri Sembilan, tidak ada dibangkitkan mengenai kerisauan calon-calon tertentu diboikot ahli atau penyokong sendiri.

“Kerana dalam berdepan pilihan raya ini, semua jentera perlu bersama-sama dalam memastikan kemenangan parti,” katanya.

Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz bersama calon PH N.33 Sri Tanjung, Datuk Dr G Rajasekaran menyantuni penduduk pada sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Kampung Paya, Port Dickson. Foto SADIQ SANI, 26 JULAI 2026.

Beliau ditemui pemberita ketika mengiringi calon Pakatan Harapan (PH) DUN Sri Tanjung yang juga penyandang kerusi itu, Dr Rajasekaran Gunnasekaran berkempen di sekitar pekan Sri Tanjung di sini, hari ini.

Sementara itu, Tengku Zafrul turut melahirkan rasa kesal dan terkilan apabila masih ada pihak yang memainkan sentimen berunsur perkauman dan kebencian ketika berkempen pada PRN Negeri Sembilan ketika ini.

Berbeza dengan PH, katanya, calon dan jentera parti itu bagaimanapun memilih untuk berkongsi rekod baik dan cemerlang Negeri Sembilan di bawah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun untuk dinilai oleh rakyat.

“Saya harap kempen-kempen yang terlalu beremosi dan menyentuh isu 3R (agama, kaum, raja) tidak diteruskan lagi dan dapat dielakkan semua pihak kerana ia jelas tidak membawa apa-apa impak positif kepada rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul yang juga Ex-Officio Biro Politik PKR melahirkan keyakinan calon-calon yang mewakili PKR pada PRN Negeri Sembilan kali ini mampu menyumbang kepada kemenangan, sekali gus membantu PH membentuk kerajaan negeri.

Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz bersama calon PH N.33 Sri Tanjung, Datuk Dr G Rajasekaran menyantuni penduduk pada sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Kampung Paya, Port Dickson. Foto SADIQ SANI, 26 JULAI 2026.

Ujarnya, meskipun pada ketika ini persaingan dilihat masih seimbang, namun usaha dan kerja keras jentera-jentera parti mampu memastikan sokongan serta kepercayaan rakyat terhadap PH pada hari pengundian 1 Ogos nanti.

“Di DUN Sri Tanjung ini sendiri, kita tahu calon kita, Dr Rajasekaran merupakan penyandang yang sudah dikenali penduduk kerana banyak menabur bakti dan khidmat kepada rakyat sepanjang hampir tiga tahun menjadi ADUN di sini.

“Ini akan menjadi penilaian kepada pengundi untuk terus memberi sokongan kepada calon-calon PKR dan PH,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast