Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz bersama calon PH N.33 Sri Tanjung, Datuk Dr G Rajasekaran menyantuni penduduk pada sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Kampung Paya, Port Dickson. Foto SADIQ SANI, 26 JULAI 2026.

PORT DICKSON – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu dikekalkan di Negeri Sembilan bagi memastikan Port Dickson terus dinobatkan sebagai antara bandar paling bahagia di negara ini.

Calon PH di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjung, Datuk Dr G Rajasekaran berkata, dasar pembangunan dan kesejahteraan rakyat yang diperkenalkan kerajaan PH Negeri Sembilan sebelum ini berjaya menobatkan Port Dickson sebagai antara bandar paling bahagia.

Menurutnya, pengiktirafan itu selepas penduduknya termasuk di DUN Sri Tanjung berjaya dikeluarkan daripada taraf miskin tegar, selain pelbagai isu rakyat sebelum ini berjaya ditangani dengan cepat dan berkesan.

Calon PH N.33 Sri Tanjung, Datuk Dr G Rajasekaran bercakap ketika ditemui pada sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Kampung Paya, Port Dickson. Foto SADIQ SANI, 26 JULAI 2026.

“Sebagai contoh isu banjir yang kerap melanda di Kampung Paya setiap kali hujan lebat telah berjaya kita selesaikan apabila kolam takungan air dinaik taraf.

“Kita lihat Port Dickson khususnya ketika hujung minggu juga dipenuhi pelancong yang memberi impak sangat bagus kepada ekonomi mikro dan makro penduduk di sini.

“Ini juga menyumbang kepada indeks yang membolehkan Port Dickson beberapa kali dinobatkan antara bandar paling bahagia hasil dasar dan polisi kerajaan PH Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika berkempen di sekitar pekan Port Dickson petang semalam yang turut diringi Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Sebelum ini, media melaporkan Port Dickson diiktiraf antara 20 Bandar Paling Bahagia di Malaysia pada 2025 melalui Kajian Indeks Kebahagiaan Malaysia yang dijalankan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).

Indeks kebahagiaan merangkumi 14 komponen penilaian antaranya alam sekitar, pemimpin tempatan, perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT) infrastruktur asas, keseronokan bekerja dan hubungan jiran serta tahap stres.

Sementara itu, ditanya berkenaan masalah kesesakan di bandar Port Dickson khususnya ketika hujung minggu dan musim cuti umum dan perayaan, Rajasekaran yang juga penyandang DUN Sri Tanjung berkata, beberapa rancangan penyuraian trafik sudah dirancang bagi mengatasi masalah itu.

Antaranya, kata beliau, menerusi pembinaan jambatan dari Kuala Lukut, Chuah ke Bagan Pinang yang sudah pun diluluskan, namun belum dapat dilaksanakan susulan pembubaran DUN.

“Jambatan ini kelak dirancang dibangunkan menggunakan sistem trafik berasaskan teknologi kecerdasan (AI), sekali gus dapat mengatasi masalah kesesakan di sini,” katanya.

Sementara itu, tambahnya, banyak projek di lapangan yang bertujuan meningkatkan kesejahteraan penduduk Port Dickson sudah dirancang dan sepatutnya boleh dilaksanakan segera sekiranya pentadbiran kerajaan negeri tidak diganggu dengan polemik politik.

Namun, malangnya, kata beliau, usaha-usaha yang dirancang itu terbantut apabila DUN terpaksa dibubarkan dalam tempoh kurang tiga tahun ketika banyak agenda pembangunan dan kebajikan rakyat sedang giat dirancang dan dilaksanakan.

“Sebab itu kita berharap rakyat Negeri Sembilan memberi mandat yang tepat pada 1 Ogos nanti supaya kerajaan PH yang kukuh dapat dibentuk dan kita dapat teruskan segala agenda yang dirancang sebelum ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast