SEREMBAN – Kesibukan berkempen dan bertemu dengan para pengundi menyebabkan calon Perikatan Nasional (PN), N.13 Sikamat, Datuk Razali Abu Samah terpaksa berjauhan dengan keluarga sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16) Negeri Sembilan.
Beliau berkata, isterinya memahami tanggungjawab yang dipikul sehingga sanggup menyediakan segala kelengkapan harian supaya beliau tidak perlu pulang ke rumah sepanjang tempoh kempen.
“Isteri saya beri satu beg kepada saya dan berkata, ‘Abang tak payahlah balik selama dua minggu’.
“Dia siapkan pakaian, tuala dan segala keperluan mandi supaya saya boleh terus berada di kawasan kempen.
“Alhamdulillah keluarga saya memahami dan meredai perjuangan ini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette selepas berkempen di sekitar Sikamat, di sini, hari ini.
Razali berdepan pertandingan tiga penjuru menentang calon Pakatan Harapan (PH), Nor Azman Mohamad yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Negeri Sembilan serta Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail.
Razali juga berkata, sokongan penuh daripada isteri dan keluarga menjadi sumber kekuatan untuk beliau meneruskan kempen walaupun terpaksa mengorbankan masa bersama insan tersayang.
“Pengorbanan itu sebagai sebahagian daripada tanggungjawab yang perlu dipikul bagi memastikan setiap pengundi berpeluang ditemui sepanjang tempoh berkempen,” katanya.
Selain itu, katanya hanya tidur sekitar tiga jam sehari sepanjang tempoh berkempen bagi memastikan beliau dapat bertemu seramai mungkin pengundi.
Menurutnya, rutin hariannya bermula seawal jam 5 pagi selepas menunaikan solat Subuh dan hanya berakhir sekitar jam 2 hingga 3 pagi.
“Saya tidur pukul 2 pagi atau 3 pagi, kemudian bangun pukul 5 pagi.
“Lepas Subuh saya terus turun padang. Kita pergi rumah ke rumah, ketuk pintu, beri penerangan mengenai perjuangan dan ideologi kita.
“Walaupun penat, saya tetap bersemangat,” katanya.
Dalam pada itu, kongsinya, semangat itu turut diperkukuhkan dengan bantuan jentera parti khususnya Wanita UMNO tempatan yang sentiasa bersama-sama menjayakan program kempen.
“Saya merakamkan penghargaan kepada kepimpinan Wanita UMNO kawasan yang banyak membantu menyusun program dan menemui pengundi dari rumah ke rumah.
“Pendekatan bersemuka dengan rakyat akan terus menjadi fokus utamanya sehingga hari pengundian kerana saya percaya hubungan secara langsung lebih berkesan dalam memahami keperluan masyarakat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















