Raja Shazreen Petra melihat Johor berpotensi muncul sebagai hab pembangunan dan pembuatan pesawat ringan serantau menerusi peluasan operasi Aeronas Aerocraft Sdn Bhd di Senai dan Iskandar Puteri

ISKANDAR PUTERI – Cadangan Syarikat Aeronas Aerocraft Sdn Bhd menjadikan Johor sebagai hab pembuatan pesawat ringan serantau akan menjadi nilai tambah kepada satu daripada enam teras yang terdapat dalam agenda Maju Johor 2030.

Syarikat bumiputera tempatan yang melakar sejarah sebagai pengeluar pesawat ringan pertama di Malaysia itu akan mengisi teras Pembangunan Ekonomi dalam agenda tersebut sekali gus menjadi satu keistimewaan di negeri ini.

Semua itu direalisasi apabila syarikat berkenaan melihat potensi negeri ini sebagai hab pembangunan dan pembuatan pesawat ringan serantau menerusi peluasan operasinya.

Aeronas Aerocraft Sdn Bhd kini mengendalikan fasiliti pembuatan di Senai dan Iskandar Puteri, selain sedang memperluaskan keupayaan pengeluaran menerusi pembangunan sebuah lagi kemudahan baharu.

Menurut Pengarah Urusan Aeronas Aerocraft, Raja Shazreen Petra Raja Azman Shah Petra, fasiliti separa pengeluaran syarikat berkenaan ketika ini mampu menghasilkan sehingga 30 pesawat setahun.

“Kemudahan pembuatan penuh yang dirancang pula dijangka meningkatkan kapasiti kepada 60 pesawat setahun bagi setiap barisan pengeluaran.

“Ketika ini sebanyak 78 peratus kerja pembuatan pesawat dilaksanakan di Malaysia dan jumlah itu disasarkan meningkat menjadi 100 peratus dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang,” katanya.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Aeronas Aerocraft itu berkata demikian dalam sesi temu bual di pejabat Aeronas di Kawasan Perindustrian SILC di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai bakat, kepakaran dan keupayaan untuk muncul sebagai pemain baharu dalam industri pembuatan pesawat global.

Shazreen Petra Raja dalam sesi temu bual di pejabat Aeronas Aerocraft di Kawasan Perindustrian SILC, di Iskandar Puteri, baru-baru ini.

“Selama ini Malaysia dikenali sebagai sebahagian daripada rantaian bekalan aeroangkasa dunia. Kini, dari Johor, kita mahu membuktikan bahawa negara ini juga mampu menghasilkan pesawat untuk pasaran antarabangsa,” ujarnya.

Menurutnya, perkembangan itu bukan sahaja memberikan manfaat terhadap Aeronas Aerocraft, malah boleh merancakkan pertumbuhan vendor tempatan dalam bidang kejuruteraan, komponen, logistik, penyelenggaraan dan perkhidmatan sokongan penerbangan.

Jelasnya, usaha menempatkan operasi Aeronas Aerocraft di Johor turut mendapat sokongan Invest Johor yang sudah menerbitkan Surat Tiada Halangan atau No Objection Letter (NOL) bagi tapak operasinya.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pula sudah meluluskan Lesen Pengilang di bawah Status Perintis kepada syarikat berkenaan, katanya.

Bagi menyediakan bekalan tenaga mahir, beliau berkata, Aeronas Aerocraft turut menjalinkan kerjasama dengan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan TVET MARA.

“Kerjasama tersebut merangkumi pembangunan bakat, penyelidikan dan latihan bagi memenuhi keperluan industri aeroangkasa yang sedang berkembang,” katanya.

Raja Shazreen Petra memberitahu, perkembangan industri tersebut dijangka membuka sehingga 20,000 peluang pekerjaan dalam keseluruhan rantaian nilai aeroangkasa apabila operasi pengeluaran mencapai kapasiti penuh.

“Daripada 20,000 peluang pekerjaan itu, lebih 450 pekerjaan berkemahiran tinggi sudah diwujudkan secara langsung, manakala kira-kira 3,000 lagi dijangka terhasil dalam sektor logistik, perkhidmatan sokongan dan industri berkaitan.

Raja Shazreen Petra memberitahu usaha menempatkan operasi Aeronas di Johor turut mendapat sokongan Invest Johor yang sudah menerbitkan Surat Tiada Halangan (NOL) bagi tapak operasinya di Johor

“Apabila operasi pengeluaran mencapai kapasiti penuh, industri ini berpotensi mewujudkan sehingga 20,000 peluang pekerjaan menerusi keseluruhan rantaian nilai aeroangkasa negara,” katanya.

Katanya, pembangunan tersebut selari dengan aspirasi kerajaan negeri untuk menyediakan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi dan bergaji premium kepada rakyat Johor.

Menurut beliau, pekerjaan berkemahiran tinggi itu diterajui sepenuhnya tenaga tempatan, termasuk Ketua Jurutera Elektrik dan Struktur, Faiz Zainal serta Ketua Jurutera Avionik dan Komponen, Rais Rosli.

Menurutnya, pembangunan industri pesawat ringan itu boleh memberikan ruang lebih besar kepada graduan kejuruteraan dan lepasan institusi pendidikan teknikal untuk membina kerjaya bertaraf global tanpa perlu meninggalkan negara.

“Aeronas Aerocraft turut menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai syarikat pertama di Malaysia yang membangunkan program pembuatan pesawat ringan pelbagai guna berasaskan platform yang mempunyai Pensijilan Jenis Bahagian 23 daripada Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA).

“Pensijilan tersebut merupakan antara piawaian keselamatan utama bagi kategori pesawat ringan dalam industri penerbangan awam antarabangsa,” jelasnya.

Sebelum ini, Aeronas Aerocraft memperoleh tempahan terkumpul 50 pesawat ringan bernilai AS$85 juta (RM357 juta) daripada Konsortium Wholechoice yang berpangkalan di Hong Kong.

Raja Shazreen Petra memaklumkam Malaysia mempunyai bakat, kepakaran dan keupayaan untuk muncul sebagai pemain baharu dalam industri pembuatan pesawat global.

Tempahan berkenaan menjadi pemangkin kepada peluasan kapasiti pengeluaran syarikat itu di Johor bagi memenuhi permintaan pasaran antarabangsa.

Dengan kemudahan pembuatan, pembangunan tenaga mahir dan pertumbuhan industri sokongan, Johor kini bukan sahaja berpotensi menjadi pintu masuk ekonomi di selatan negara, malah pusat pengeluaran pesawat ringan Malaysia untuk pasaran serantau.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast