Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada media selepas hadir pada Himpunan Usahawan Bumiputera Negeri Sembilan 2026 di D'Tempat Country Club Sendayan, Negeri Sembilan. Foto MOHD ADZLAN, 27 JULAI 2026.

SEREMBAN – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menafikan wujud sebarang pergaduhan atau keretakan antara BN dan Perikatan Nasional (PN) susulan kenyataan saling berbalas membabitkan pemimpin kedua-dua gabungan itu.

Menurut beliau, kenyataan yang dikeluarkannya sebelum ini hanya bertujuan menyanggah pandangan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu, dan tidak seharusnya ditafsirkan sebagai konflik antara BN dan PN.

“Tidak ada sebarang pergaduhan. Perbezaan pendapat pun tidak. Kami bergerak seiring atas nama kesefahaman,” katanya pada sidang media selepas Himpunan Usahawan Bumiputera Negeri Sembilan di Bandar Sri Sendayan, hari ini.

Semalam, Mohamad Sabu menyifatkan pertelingkahan terbuka antara BN dan PN menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebagai petanda awal bahawa kerjasama antara kedua-dua gabungan itu tidak kukuh.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata, walaupun BN dan PN dilihat cuba menampilkan persefahaman politik, hubungan antara kedua-duanya sudah mula menunjukkan keretakan.

Muhyiddin pula dilaporkan berkata, beliau telah menjangkakan ketegangan akan berlaku dalam persefahaman antara kedua-dua gabungan itu kerana ia dibentuk atas dasar untuk merebut kuasa.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid mengingatkan mana-mana pihak, sama ada individu mahupun pemimpin politik supaya tidak menyalahkan media berhubung laporan mengenai kenyataan yang mereka keluarkan.

Katanya, media hanya menjalankan tanggungjawab melaporkan apa yang diperkatakan dan tidak wajar dipersalahkan sekiranya timbul perbezaan tafsiran terhadap sesuatu kenyataan.

“Kalau salah, jangan salahkan media. Media melakukan apa yang dinyatakan. Saya harap tidak ada interpretasi yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang menyalahkan laporan sebuah portal berita sebagai pencetus polemik dan kontroversi sejak beberapa hari lalu berhubung kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

Ahmad Fadhli mendakwa laporan yang menggunakan petikan secara selektif itu dibuat bagi membentuk persepsi negatif terhadap pemimpin berkenaan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengingatkan semua pihak supaya tidak memainkan isu melibatkan agama, kaum dan institusi diraja (3R) sepanjang tempoh berkempen.

Katanya, BN kekal mempertahankan kedudukan Raja-Raja Melayu serta Perlembagaan Persekutuan dan tidak pernah menyentuh perkara yang boleh mencetuskan ketegangan.

“Alhamdulillah, kempen yang kita jalankan juga tidak menyentuh perkara itu. Mungkin ada pihak lain yang menyentuh kerana kami berpegang bahawa institusi Raja-Raja Melayu mesti dipertahankan.

“Dalam konteks Negeri Sembilan, institusi Undang Yang Empat juga harus dipertahankan. Kami tidak pernah menyentuhnya, sebaliknya menghormati institusi berkenaan,” katanya.

Mengulas mengenai pengundian awal esok, Ahmad Zahid merayu agar pengundi awal memberikan sokongan kepada calon-calon BN.

“Insya-Allah kita akan lakukan yang terbaik untuk mereka dan keluarga mereka.

“Pengalaman di peringkat nasional akan kita turunkan di peringkat negeri dan insya-Allah kita akan lakukan yang terbaik untuk anggota tentera dan polis apabila keputusan pada 1 Ogos nanti memperlihatkan undi awal memihak kepada calon-calon BN,” katanya.

Esok, seramai 22,339 anggota keselamatan dan pasangan mereka akan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal pada PRN Negeri Sembilan.

Jumlah itu membabitkan 16,884 anggota tentera dan pasangan serta 5,455 anggota polis dan pasangan masing-masing. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast