MUAR -Seramai 114 penduduk daripada 30 keluarga dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) susulan banjir kilat di sini sejak kelmarin.
Setiausaha Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir berkata, jumlah mangsa banjir terbabit adalah setakat pukul 8 malam ini yang melibatkan tiga buah kampung dalam kawasan Sungai Balang.
“Terdapat 41 penduduk melibatkan 13 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Bulat manakala 73 penduduk melibatkan 17 keluarga ditempatkan di PPS SK Orang Kaya Ali.
“Mangsa banjir berkenaan dari Parit Bulat, Kampung Sri Menanti dan Kampung Parit Pechah,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga Setiausaha kerajaan Negeri memberitahu, PPS di SK Parit Bulat dibuka pukul 2 petang kelmarin dan PPS di SK Orang Kaya Ali dibuka pukul 7 petang kelmarin.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Datuk Mohd Fared Mohd Khalid berkesempatan melawat mangsa banjir di dua PPS berkenaan.
Menurut beliau, tujuannya bagi meninjau sendiri keadaan semasa serta menyampaikan bantuan kepada mereka yang terjejas.
“Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menyampaikan pelbagai bentuk bantuan kepada mangsa banjir sebagai usaha meringankan beban yang ditanggung.
“Bantuan yang disalurkan merangkumi Kit Solat yang mengandungi kain pelikat, telekung, kain batik, sejadah dan kopiah serta Kit Mandian yang mengandungi syampu, sabun mandian, ubat gigi, berus gigi, tuala wanita, losen dan tuala.
“Kedua-dua kit ini bernilai kira-kira RM150 bagi setiap penerima dan akan diagihkan kepada 200 penerima, melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM30,000,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook miliknya hari ini.
Mohd Fared berharap bantuan berkenaan dapat meringankan beban mangsa-mangsa banjir.
“Marilah kita bersama-sama mendoakan agar keadaan segera pulih, segala urusan mereka dipermudahkan dan seluruh mangsa diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi ujian ini,” ujarnya.- MalaysiaGazette
















