PENGERANG – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman 26 tahun penjara dan lapan sebatan terhadap seorang nelayan selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap tiga kanak-kanak lelaki di Mersing sejak tahun lalu hingga Mei 2026.

Mohamad Khairudin Jaffar, 34 mengaku bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Hidayatul Syuhada Shamsudin.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohamad Khairudin didakwa melakukan amang seksual fizikal bagi maksud seksual ke atas seorang kanak-kanak lelaki berumur sembilan tahun pada Mac 2025 di bawah jambatan berhampiran restoran KFC Mersing.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama ke atas mangsa sama yang ketika itu berumur 10 tahun 7 bulan pada 21 Mei lalu pada pukul 5.40 petang dalam bilik tertuduh di Taman Sri Daik, Mersing.

Sementara pertuduhan ketiga pula, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal bagi maksud seksual dengan cara memegang kemaluan kanak-kanak lelaki lain berusia 10 tahun pada 2025, pukul 10 malam di bawah pokok di sebuah kawasan lapang tepi Jalan Mersing-Jemaluang.

Bagi pertuduhan ke empat, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama terhadap kanak-kanak lelaki lain berumur 10 tahun 10 bulan di kawasan lapang tepi jalan bertar Taman Wawasan Indah, Mersing pukul 11 malam, pada Ogos 2025.

Tertuduh didakwa dibawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTKK) 2017, Perintah Seksyen 26(1) AKSTKK 2017, Seksyen 27(1) AKSTKK dan Perintah Seksyen 26A AKSTKK 2017 bagi keempat-empat pertuduhan tersebut.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nursyafiq Abd Halim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan hukuman tujuh tahun penjara dan dua sebatan bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, manakala pertuduhan keempat mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast