Fahmi Fadzil

JEMPOL – Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap penyebaran maklumat palsu yang dijangka meningkat menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Menurutnya, trend penyebaran kandungan tidak sahih termasuk video lama yang dikitar semula serta maklumat yang dipetik di luar konteks juga akan semakin ketara dalam tempoh beberapa hari terakhir sebelum pengundian, sekali gus berpotensi mempengaruhi pengundi.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai supaya menyemak kesahihan sesuatu maklumat melalui media arus perdana dan akaun media sosial rasmi organisasi media sebelum mempercayai atau menyebarkannya.

“Saya lihat terutama dalam dua atau tiga hari terakhir (kempen PRN) akan ada trend penyebaran maklumat palsu, terutama melalui WhatsApp. Banyak maklumat yang tidak tepat, maklumat yang separuh jalan ceritanya ataupun video lama yang dikitar semula.

“Jadi saya minta semua pihak berhati-hati dan bersyak wasangkalah dengan sebarang maklumat yang diterima dalam WhatsApp…semak dahulu dengan media arus perdana atau organisasi media rasmi,” katanya.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata demikian pada sidang media selepas hadir pada program kempen calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, G. Manivanan, di Felda Bukit Rokan Barat, di sini malam ini

Mengulas dakwaan berhubung pemberian wang kepada pengundi awal yang tular di media sosial, Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi PH berkata, sebarang siasatan sepanjang tempoh pilihan raya adalah di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Tegasnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga bersedia membantu sebagai agensi teknikal.

“Siasatan perlu dilakukan oleh SPR dalam tempoh pilihan raya (dan) MCMC pula sedia menjadi agensi teknikal.

“(Termasuklah) untuk membuat pengesahan dan menjalankan forensik digital terhadap kandungan yang dimuat naik atau disebarkan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast