SEREMBAN – Kehadiran Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh dan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Khaidhirah Abu Zahar atau lebih dikenali sebagai Dira memberi nilai tambah kepada kempen calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu, Siti Nur Umairah Hasim menarik perhatian pengundi.

Siti Nur Umairah yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri Sembilan berkata, kehadiran dua tokoh dari Melaka itu yang turun padang bersama jentera kempen membantu mendekati lebih ramai pengundi di kawasan berkenaan.

Menurut beliau, sebagai calon Puteri tunggal yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini, sokongan dan kehadiran pemimpin serta personaliti UMNO itu memberi impak positif terhadap gerak kerja kempen BN di Labu.

“Disebabkan saya adalah calon Puteri tunggal, jadi mereka datang untuk turut sama menyantuni pengundi. Mereka juga mempunyai pengikut masing-masing.

“Saya rasa dengan adanya muka-muka tersebut, ia dapat menarik hati pengundi-pengundi di Labu dan membantu memberi impak kepada kempen,” katanya ketika ditemui selepas selesai proses pengundian awal di Labu hari ini.

Dalam pada itu, Siti Nur Umairah berkata, kempen memasuki minggu kedua kini semakin rancak dengan tumpuan diberikan kepada pendekatan bersemuka bagi mendekati pengundi.

Beliau mahu menggunakan baki tempoh berkempen untuk bertemu seramai mungkin pengundi secara langsung berbanding hanya bergantung kepada program atau majlis berskala besar.

“Fokus saya sekarang adalah untuk bertemu pengundi secara berdepan dan bersemuka. Bagi saya, ia lebih relevan daripada kita hanya menyantuni mereka melalui majlis-majlis.

“Kita masih perlu bertemu dan menyantuni ramai lagi pengundi di sini,” katanya.

Siti Nur Umairah turut menyifatkan perjalanan pengundian awal hari ini berlangsung lancar dan berharap proses berkenaan berjalan dengan baik sehingga selesai.

“Saya berpuas hati dengan perjalanan hari ini. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan saya harap proses seterusnya juga berjalan dengan baik,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast