SEREMBAN – Calon Pakatan Harapan (PH) N.13 Sikamat, Nor Azman Mohamad berpuas hati dengan kelancaran proses pengundian awal di Balai Polis Sikamat yang disifatkannya berjalan teratur dan mengikut prosedur Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Beliau berkata, suasana pengundian awal dalam Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16) Negeri Sembilan berlangsung dalam keadaan tenang dengan kehadiran pengundi yang memberangsangkan sejak awal pagi.
Menurutnya, setakat sekitar 10 pagi, hampir 93 pengundi awal telah menunaikan tanggungjawab masing-masing, manakala selebihnya dijangka hadir sebelum pusat pengundian ditutup pukul 5 petang ini.
“Alhamdulillah, saya lihat proses berjalan dengan lancar. Seawal 9 pagi sahaja sudah hampir 50 pengundi telah pun menunaikan tanggungjawab mereka.
“Masih berbaki sekitar lebih kurang 100 atau kurang dari itu dan saya menjangkakan kehadiran akan terus meningkat sebelum tempoh pengundian berakhir,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette semasa meninjau proses pengundian awal di Balai Polis Sikamat hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua petugas keselamatan dan pegawai yang terlibat kerana memastikan perjalanan proses pengundian berlangsung dengan baik.
“Saya berharap semua petugas keselamatan dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka memilih di samping meneruskan amanah menjaga keselamatan serta keamanan seperti biasa.
“Saya ucapkan terima kasih atas kelancaran yang berlaku pada hari ini. Mudah-mudahan segala urusan dipermudahkan dan proses pengundian berjalan lancar sehingga selesai,” katanya.
Dalam pada itu, Nor Azman menegaskan, fokus utama beliau sekiranya diberi mandat mewakili rakyat Sikamat adalah meneruskan legasi perkhidmatan yang telah dibina penyandang sebelum ini, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Menurut Nor Azman, aspek kebajikan masyarakat akan terus diberi perhatian bagi memastikan setiap penduduk menerima manfaat daripada pelbagai inisiatif kerajaan negeri serta bantuan yang disalurkan kepada rakyat.
“Apabila saya diberi amanah untuk menggantikan Datuk Seri Aminuddin Harun, sudah tentu antara perkara utama yang perlu saya teruskan ialah menjaga kebajikan masyarakat dan pengundi di DUN Sikamat.
“Kita mahu memastikan segala bentuk perkhidmatan yang ditawarkan oleh kerajaan negeri dan juga usaha-usaha yang kita laksanakan dapat diteruskan sebaik mungkin demi kepentingan rakyat,” katanya.
Nor Azman juga berkata, kelebihan sebagai anak tempatan yang menetap di Sikamat membolehkan beliau lebih memahami keperluan sebenar penduduk serta bertindak pantas dalam membantu menyelesaikan pelbagai isu di kawasan itu.
“Saya ingin menjanjikan kepada masyarakat DUN Sikamat bahawa saya sentiasa bersama anda kerana saya berada di Sikamat, duduk di Sikamat dan tinggal di Sikamat.
“Masalah anda adalah masalah saya juga. Kita akan hadapi dan selesaikan setiap permasalahan itu secara bersama demi memastikan kesejahteraan masyarakat terus terpelihara,” katanya.
Nor Azman turut berkata, hubungan rapat dengan penduduk merupakan asas kepada perkhidmatan yang berkesan dan beliau bertekad untuk sentiasa mendampingi rakyat tanpa mengira waktu sekiranya diberi kepercayaan pada PRN Negeri Sembilan kali ini.
“Saya menyeru seluruh pengundi agar menunaikan tanggungjawab masing-masing pada hari pengundian nanti bagi memastikan proses demokrasi terus berlangsung dalam suasana aman dan harmoni,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















