KUANTAN – Menjelang Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA Selangor 2026 pada pertengahan bulan ini, kontinjen Pahang mengakui berdepan situasi membimbangkan dengan risiko terdapat atlet Para bagi kategori lawn bowls tidak dibenar beraksi.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal memaklumkan, atlet terbabit tidak melepasi saringan peringkat awal baru-baru ini, meskipun pernah mewakili negara beberapa bulan lepas.
“Saya minta penganjur rasional berkenaan perkara ini sebab kita dah training lama, kita dah belanja besar, tiba-tiba dari segi spesifikasi, sebab ada dakwaan-dakwaan tertentu, atlet kita tidak boleh bertanding.
“Jadi ini rugi. Rugi pada negeri, rugi pada negara. Jadi saya sedang dapatkan maklumat lanjut berkenaan perkara ini, dan kalau ia berlaku, Pahang akan membuat bantahan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Bendera kepada Kontinjen SUKMA dan Para SUKMA Negeri Pahang yang disempurnakan Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan mempertahankan hak atlet Para SUKMA negeri ini sekiranya mendapati penilaian yang disifatkan tidak munasabah sehingga menyebabkan mereka tidak dibenar beraksi pada Para SUKMA 2026 kali ini walaupun layak mewakili negara di peringkat antarabangsa.
“Saya nak minta tolong pihak penganjur rasional berkenaan perkara ini. Kalau beliau boleh mewakili negara dalam acara sama, kenapa tak boleh mewakili negeri Pahang?
“Macam mana boleh lepas spesifikasi antarabangsa, takkan peringkat nasional tak lepas? Jadi saya akan fight perkara ini, kalau atlet Pahang boleh main untuk negara, kenapa tak boleh main untuk Pahang,” tambahnya lagi.
Sebagai rekod, kontinjen Pahang ke SUKMA dan Para SUKMA 2026 di Selangor bermula 15 Ogos ini akan diwakili 737 orang atlet, melibatkan 397 atlet lelaki dan 340 atlet wanita.
Manakala bagi Para SUKMA, seramai 75 orang atlet melibatkan 49 atlet lelaki dan 26 atlet wanita terbabit. – MalaysiaGazette
















