KUANTAN – Kontinjen Pahang meletakkan sasaran 35 pingat emas bagi Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 dan 15 pingat emas bagi Para SUKMA yang akan berlangsung di Selangor mulai 15 Ogos depan.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, antara acara yang disasar raih pingat emas termasuk sukan menembak selain angkat berat, silat serta beberapa sukan baharu yang berpotensi.
“Kita ada jaguh menembak negara. Dalam SUKMA yang lepas, kita juara keseluruhan menembak. Kita berjaya dapat 12 pingat emas kalau tak silap saya.
“Dan kali ini kita nak mengulangi kejayaan tersebut atau pencapaian yang lebih baik. Jadi yang pertama adalah menembak. Yang kedua, kita perlu menyasarkan sukan-sukan yang sinonim dengan kita iaitu angkat berat, silat dan juga sukan-sukan baharu yang saya tengok ada potensi seperti memanah, judo,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Bendera kepada Kontinjen SUKMA dan Para SUKMA Negeri Pahang yang disempurnakan Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.
Menurut Fadzli, banyak acara bagi Para SUKMA kali ini yang tidak dipertandingkan berbanding pada Para SUKMA di Serawak yang lalu, namun Pahang tetap mensasarkan 15 pingat emas berdasarkan unjuran pencapaian semasa atletnya.
“Untuk Para SUKMA saya lebih berhati-hati sedikit dari segi sasaran emas ini sebab banyak acara digugurkan dan ramai atlet kita yang tidak melepasi penilaian untuk bertanding bagi Para SUKMA,” jelasnya.
Beliau berkata kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM12 juta sebagai persiapan keseluruhan kontinjen SUKMA dan Para SUKMA kali ini.
Katanya, kerajaan negeri turut mengekalkan ganjaran RM6,000 bagi pemenang pingat emas individu, namun jumlah itu akan ditambahbaik berdasarkan pencapaian cemerlang atlet.
“Tapi saya yakin kalau kejayaan cemerlang, pasti ada ganjaran daripada Kerajaan Negeri Pahang. Yang itu kita optimis. Kita percaya kepada Menteri Besar Pahang.
“RM6,000 itu kita kekalkan ganjaran seperti di Sarawak sebelum ini. Tapi itulah, kita doa lebih daripada itu. Tengok macam mana nanti,” katanya lagi.
Bagi SUKMA Dan Para SUKMA 2026 kali ini, Pahang mempertandingkan 737 orang atlet, melibatkan 397 atlet lelaki dan 340 atlet wanita.
Sementara itu bagi Para SUKMA, Pahang akan diwakili 75 orang atlet melibatkan 49 atlet lelaki dan 26 atlet wanita.
Ketua Kontinjen SUKMA Pahang kali ini ialah Khaizulnizam Mohamad Zuldin manakala Ketua Kontinjen Para SUKMA Pahang ialah Zamzuriadi Shamsuddin. – MalaysiaGazette
















