KUALA PILAH – Proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Parlimen Kuala Pilah yang bermula sejak jam 9 pagi ini berjalan lancar.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Muhamad Mustafah Hussin berkata, kira-kira 36 peratus daripada keseluruhan pengundi awal telah menunaikan tanggungjawab masing-masing setakat pagi ini setakat jam 9 pagi.
Beliau yakin sasaran jumlah pengundi melebihi 90 peratus mampu dicapai menjelang pusat pengundian ditutup pada pukul 5 petang.
“Kita berharap dapat mencapai sekurang-kurangnya 95 peratus kehadiran pengundi awal. Kalau dapat 100 peratus, itu satu kejayaan bagi kami.
“Setakat ini perjalanan undi awal berjalan lancar dan tiada sebarang masalah yang dihadapi,” katanya kepada MalaysiaGazette pagi ini.

Beliau berkata, pihak polis turut memberi peluang kepada semua calon yang bertanding untuk hadir meninjau sendiri proses pengundian bagi memastikan perjalanan undi awal berlangsung secara telus dan teratur.
Menurutnya, kerjasama yang diberikan semua pihak sepanjang proses pengundian awal amat baik, sekali gus membolehkan keseluruhan proses berjalan dalam keadaan aman dan terkawal.
Mengulas mengenai pematuhan peraturan pilihan raya, Muhamad Mustafah berkata, polis setakat ini tidak menerima sebarang laporan berkaitan salah guna kempen atau pelanggaran syarat-syarat pilihan raya oleh mana-mana parti atau calon yang bertanding.
“Cuma kita ada menerima laporan berkaitan perbuatan khianat terhadap bendera dan juga sepanduk parti, namun ia tidak melibatkan mana-mana calon secara langsung,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya kini memberi tumpuan bagi memastikan seramai mungkin pengundi awal menunaikan tanggungjawab masing-masing termasuk 57 anggota polis yang kini bertugas di luar kawasan Kuala Pilah.

“Kita berharap mereka kembali untuk mengundi di sini supaya sasaran kehadiran pengundi awal dapat dicapai,” ujarnya.
Mengulas suasana kempen sepanjang tempoh berkempen PRN Negeri Sembilan, Muhamad Mustafah menyifatkan keadaan keseluruhannya terkawal dan harmoni tanpa sebarang insiden yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
“Setakat ini suasana kempen berjalan lancar. Kita tidak menerima apa-apa laporan polis berkaitan mana-mana pihak atau individu yang tidak berpuas hati dengan perjalanan kempen,” katanya lagi.
Beliau turut melahirkan keyakinan tahap keselamatan yang dikawal Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus dikekalkan sehingga tamat proses pengundian awal hari ini dan menjelang hari pengundian pada Sabtu.
“Saya sangat berpuas hati. Kita harap tahap keselamatan yang dijaga oleh PDRM ini berkekalan sehingga ke penghujung proses pilihan raya dan semuanya berjalan lancar,” katanya.
Pengundian awal PRN Negeri Sembilan hari ini melibatkan 38 pusat mengundi awal di seluruh negeri. Proses pengundian bermula pada pukul 8 pagi, manakala pusat-pusat mengundi ditutup secara berperingkat antara pukul 12 tengah hari hingga 5 petang. – MalaysiaGazette
















