Menteri Besar Negeri Sembilan yang calon PH N.32 Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun bercakap ketika ditemubual semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Kampung Tanjung Agas, Port Dickson. Foto SADIQ SANI, 21 JUALI 2026.

MENJELANG hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, kempen setiap parti semakin rancak dengan membawa pelbagai naratif mengikut agenda masing-masing.

Namun bagi Pakatan Harapan (PH), ia memilih untuk mempertahankan rekod pentadbiran sebagai asas memohon mandat baharu daripada rakyat.

Pada pilihan raya kali ini, PH bukan sekadar mempertahankan 17 kerusi yang dimenangi pada 2023 sebaliknya lebih besar daripada itu iaitu menjadi penunjuk penilaian rakyat terhadap kepimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun selepas menerajui Negeri Sembilan selama hampir lapan tahun.

Sepanjang tempoh itu, kerajaan negeri sering menonjolkan pencapaian dalam aspek pelaburan, pengurusan kewangan, pertumbuhan ekonomi serta pelbagai skim kebajikan yang menyasarkan semua lapisan masyarakat.

Rizab negeri meningkat, hasil kerajaan bertambah dan Negeri Sembilan muncul antara negeri yang mencatatkan pertumbuhan pelaburan memberangsangkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Bagi penyokong PH, pencapaian itu bukan sekadar angka di atas kertas. Pelaburan yang masuk diterjemahkan kepada peluang pekerjaan baharu, manakala hasil negeri lebih kukuh memberi ruang kepada kerajaan memperkenalkan pelbagai bantuan kepada rakyat, daripada bayi yang baru dilahirkan hinggalah kepada golongan warga emas.

Namun dalam suasana politik hari ini, rekod semata-mata tidak semestinya mencukupi. Persepsi sering bergerak lebih pantas daripada fakta, terutama di media sosial yang menjadi medan utama kempen sepanjang pilihan raya.

Antara naratif yang kerap dimainkan ialah dakwaan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, terlalu memberi perhatian kepada kaum tertentu sehingga mengabaikan kepentingan orang Melayu dan Islam.

Reaksi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Perasmian Penutup Konvensyen Wakaf Dakwah di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC). Foto AIZAT ZAINAL, 27 JULAI 2026.

Hakikatnya, jika diteliti dasar yang diperkenalkan sejak pembentukan Kerajaan Perpaduan, sebahagian besar manfaat turut dinikmati masyarakat Melayu yang merupakan kumpulan terbesar dalam kategori B40, penerima bantuan tunai, pesawah, pekebun kecil, nelayan, penjawat awam serta penduduk luar bandar.

Program seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), bantuan kepada pesawah dan pekebun kecil, subsidi bersasar serta pelbagai inisiatif menangani kos sara hidup memberi manfaat kepada jutaan rakyat tanpa mengira kaum.

Dalam konteks demografi negara, penerima terbesar secara jumlahnya juga terdiri daripada orang Melayu.

Dalam masa sama, dakwaan kedudukan Islam dan hak orang Melayu semakin terhakis juga sukar disandarkan kepada dasar rasmi kerajaan.

Peruntukan kepada pembangunan Islam, institusi masjid, sekolah agama dan pelbagai agensi berkaitan terus diteruskan, manakala kedudukan orang Melayu serta institusi Raja-Raja Melayu kekal dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan tanpa sebarang pindaan yang menjejaskan asas tersebut.

Di Negeri Sembilan sendiri, Aminuddin memilih pendekatan pentadbiran sederhana dan tidak banyak terheret dengan polemik politik nasional. Fokus beliau lebih tertumpu kepada pembangunan negeri, menarik pelaburan, memperkukuh kewangan kerajaan serta memperluaskan jaringan kebajikan kepada rakyat.

Hubungan baik antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan juga menjadi antara faktor yang sering diketengahkan PH sepanjang kempen.

Keserasian pentadbiran membolehkan proses mendapatkan peruntukan, menyelaras projek pembangunan dan menarik pelaburan dilaksanakan dengan lebih lancar, memberi manfaat langsung kepada negeri.

Sudah tentu masih terdapat isu yang perlu diperbaiki, termasuk kos sara hidup, penyelenggaraan infrastruktur dan peluang pekerjaan berkualiti. Tiada pentadbiran yang bebas daripada kelemahan.

Namun persoalan yang bakal dijawab pengundi pada 1 Ogos ini ialah sama ada kelemahan tersebut mengatasi rekod pencapaian yang telah dibina sepanjang lapan tahun lalu.

Akhirnya, PRN Negeri Sembilan bukan sekadar pertembungan antara parti politik. Ia memperlihatkan pertembungan dua pendekatan berbeza iaitu sama ada pengundi memilih berdasarkan persepsi yang dibentuk sepanjang kempen atau rekod pentadbiran yang boleh dinilai melalui pencapaian sebenar.

Keputusan itu akhirnya akan menentukan sama ada rakyat Negeri Sembilan memilih untuk meneruskan kesinambungan pentadbiran sedia ada atau membuka lembaran politik yang baharu.

Dalam pilihan raya ini, pertaruhan terbesar PH bukan sekadar kerusi, tetapi sejauh mana rekod mampu mengatasi persepsi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast