JEMPOL – Pendekatan politik bersifat perkauman termasuk seperti dibawa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor tiada tempat di Negeri Sembilan.
Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming berkata, Negeri Sembilan dibina atas semangat perpaduan dan rakyat terdiri daripada pelbagai kaum yang hidup sebagai sebuah keluarga besar tanpa mengira bangsa.
Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia (KPKT) berkata, rakyat kini semakin matang dalam menilai corak politik yang sesuai untuk masa depan negeri, dengan memilih pendekatan yang menyatukan masyarakat berbanding retorik yang mencetuskan perpecahan.
“Rakyat abad ke-21 memerlukan politik yang membina dan bukannya politik toksik yang hanya membawa kemusnahan. Perpaduan perlu dibela, keharmonian perlu dipertahankan.
“Sebab itu, sikap Sanusi itu amat dikesali sehingga BN pun halau dia keluar daripada Negeri Sembilan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette dalam kempen Grand Finale DUN Bahau di Dataran Meranti di sini malam ini.
Terdahulu, dalam ucapannya, beliau turut meminta pengundi menghantar satu mesej yang jelas kepada Sanusi pada hari mengundi 1 Ogos ini atas sikapnya itu.
“Gunakan undi kita untuk menghantar satu mesej kepada Sanusi bahawa Melayu, Cina dan India di negeri ini ialah satu keluarga. Kita semua anak Malaysia dan politik perkauman tidak ada tempat di bumi bertuah Negeri Sembilan,” tegasnya.
Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, selain membawa agenda perpaduan, Pakatan Harapan (PH) juga merupakan satu-satunya gabungan yang telah mengumumkan calon Menteri Besar, iaitu Datuk Seri Aminuddin Harun.
“Barisan Nasional tidak ada calon Menteri Besar, Perikatan Nasional tidak ada calon Menteri Besar dan Bersatu pun tidak ada calon Menteri Besar.
“Hanya Pakatan Harapan mempunyai calon Menteri Besar iaitu Datuk Seri Aminuddin Harun yang mewakili semua kaum,” katanya sambil menambah rakyat berhak mengetahui siapa yang bakal mentadbir negeri sekiranya sesebuah gabungan diberi mandat membentuk kerajaan.
Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) sebelum ini mengeluarkan kenyataan yang menyentuh isu perkauman, di mana beliau menyatakan selain orang Melayu kaum lain seperti Cina dan India masing-masing mempunyai negara asal mereka sendiri.
Kenyataan itu mencetuskan rasa kurang senang pelbagai pihak yang menganggapnya sebagai satu cubaan memainkan sentimen kaum dan memecahbelahkan keharmonian rakyat majmuk. – MalaysiaGazette
















