Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga calon PH N.32 Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun bercakap pada sidang media sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Telok Kemang, Port Dickson. Foto SADIQ SANI, 29 JANUARI 2026.

PORT DICKSON – Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun melahirkan rasa kesal apabila isu kononnya Datuk Seri Mohamad Hasan dihalau dari kediaman rasmi ketika Pakatan Harapan (PH) merampas negeri itu pada 2018 dimainkan bagi menunjukkan seolah-olah beliau seorang yang `jahat’ dan tidak berperikemanusiaan.

Lebih mengecewakan, katanya yang juga calon PH di Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, isu itu turut mengganggu emosi anak-anaknya.

Sehubungan itu, beliau merayu semua pihak supaya tidak terus menabur fitnah dan berkempen secara harmoni dalam tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 kini, yang masih berbaki tiga hari lagi.

“Ini adalah antara fitnah yang terus dimainkan untuk mencari simpati, walaupun nampak kecil tetapi kesannya sangat besar kepada keluarga saya.

“Sanggup mereka berkempen hingga merosakkan emosi anak-anak saya. Nak kempen, kempenlah, tapi jangan rosakkan emosi anak-anak saya,” katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika berkempen bertemu penduduk di sekitar Kampung Balak, Linggi di sini, hari ini.

Menjelaskan lebih lanjut, Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menyifatkan isu `halau dari kediaman rasmi’ itu hanya rekaan kerana ia tidak menggambarkan realiti sebenar.

Katanya, umum mengetahui kediaman rasmi Menteri Besar sangat tinggi kawalan keselamatannya dan mempunyai prosedur tertentu sebelum digantikan dengan penghuni baharu.

Sementelah, ujarnya, meskipun Mohamad atau lebih dikenali Tok Mat tewas pada malam pilihan raya 2018 itu, namun beliau masih memiliki keistimewaan sebagai Menteri Besar sehinggalah penggantinya dilantik dan mengangkat sumpah.

“Sebab itu saya selalu ingatkan, kita berkempenlah secara harmoni, elakkan fitnah dan jangan sentuh isu-isu sensitif seperti agama, kaum, raja dan sebagainya.

“Biarlah kempen sepanjang PRN Negeri Sembilan ini berbeza dengan kempen-kempen di negeri lain, sebab kita mahu berbakti kepada rakyat Negeri Sembilan, bukannya dimomokkan dengan perpecahan dan fitnah sesama kita,” katanya.

Semalam, anak Aminuddin menerusi laman sosial berharap fitnah kononnya Mohamad diusir keluar dari kediaman rasmi selepas Barisan Nasional (BN) tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dihentikan.

Sambil menafikan dakwaan itu, Nur Amalina menerusi hantaran di akaun Threads berharap ia dihentikan kerana memberi persepsi tidak tepat terhadap bapanya.

“Saya dah tengok benda ini banyak kali dan berharap fitnah ini dihentikan. Tiada siapa usir sesiapa.

“Ibu bapa saya tinggal di rumah kami di Taman Desa lxora sebulan selepas angkat sumpah. Mula-mula tak ‘plan’ pun nak pindah ke kediaman rasmi, tapi mengenangkan kesian ‘guards’ yang kena ‘station’ luar rumah dalam kabin, tak selesa,” katanya.

Hantaran Nur Amalina itu susulan perkongsian seorang pengguna Threads lain yang berkongsi gambar Mohamad duduk di luar kediaman terbabit dengan keterangan ‘Flashback luka lama Tok Mat, diusir keluar dari kediaman MB pada malam hari’. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast