Logo Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) di Cyberjaya. Foto HAZROL ZAINAL, 20 APRIL 2022.
Logo Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) di Cyberjaya. Foto HAZROL ZAINAL, 20 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Platform Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) berupaya membantu mengekang penguasaan kartel dalam ekosistem pengambilan pekerja asing, selain memperkukuh aspek keselamatan negara.

Penganalisis keselamatan dan pertahanan, Zaki Salleh berkata, keberkesanan sistem digital itu bagaimanapun bergantung kepada pelaksanaannya secara menyeluruh serta disokong penguatkuasaan yang konsisten tanpa sebarang kompromi.

Menurut beliau, dari sudut mengekang kartel buruh asing, FWCMS mampu mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah atau perantara yang sebelum ini membuka ruang kepada manipulasi dan monopoli dalam proses pengambilan pekerja.

“Melalui pendigitalan, setiap permohonan dan kelulusan direkodkan dalam sistem dengan jejak audit yang telus, sekali gus menyukarkan sebarang cubaan memanipulasi data atau berlakunya amalan rasuah.

“Penyepaduan maklumat perubatan dan dokumentasi pula membantu mengurangkan pemalsuan laporan kesihatan, dokumen insurans serta dokumen lain yang sering dieksploitasi oleh sindiket,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

FWCMS kini beroperasi sebagai platform bersepadu yang merangkumi 15 modul, menghubungkan 15 negara sumber tenaga kerja, 232 pusat perubatan bertauliah serta agensi kerajaan Malaysia dalam satu ekosistem digital.

Platform itu menguruskan pemprosesan lebih dua juta pekerja asing setiap tahun, selain membawa pelbagai penambahbaikan operasi termasuk mengurangkan tempoh pemprosesan bagi proses tertentu daripada beberapa bulan kepada 48 jam, pengesahan biometrik bagi mengelakkan penyamaran pekerja serta mengurangkan kesilapan dokumentasi.

Penganalisis keselamatan dan pertahanan, Zaki Salleh
Penganalisis keselamatan dan pertahanan, Zaki Salleh

Sementara itu, Zaki berkata, dari perspektif keselamatan negara, integrasi data biometrik membolehkan pengesahan identiti pekerja asing dibuat sejak di negara sumber sebelum mereka memasuki Malaysia, sekali gus membantu memperkukuh kawalan sempadan dan mengurangkan risiko penyalahgunaan identiti.

Katanya, sistem berkenaan turut memudahkan pengesahan bahawa pekerja yang dibawa masuk mempunyai majikan sah dan kuota diluluskan, sekali gus mengurangkan risiko kemasukan tidak teratur serta kegiatan pemerdagangan manusia.

“FWCMS membolehkan pihak berkuasa memantau status permit serta kedudukan pekerja asing dengan lebih berkesan, sekali gus mengurangkan masalah pekerja yang terkandas atau bekerja tanpa majikan yang sah.

“Bagaimanapun, teknologi sahaja tidak mencukupi. Kejayaan FWCMS bergantung kepada penguatkuasaan yang tegas, integriti semua pihak yang terlibat serta kerjasama berterusan antara agensi kerajaan dan negara sumber bagi memastikan setiap kelemahan yang boleh dieksploitasi sindiket dapat ditutup sepenuhnya,” katanya.

Untuk rekod, Pusat Sehenti Pengurusan Pekerja Asing (OSC) kini diletakkan di bawah Kementerian Sumber Manusia berkuat kuasa serta-merta yang turut mengurus, mengambil alih serta pendaftaran pekerja asing melalui modul ekuota FWCMS. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast