SEREMBAN – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam keras politik berasaskan kaum dengan menegaskan semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa mempunyai hak yang sama sebagai warganegara.
Anwar berkata, adalah tidak wajar mana-mana pihak menyuruh rakyat berketurunan Cina pulang ke China atau masyarakat India kembali ke India kerana mereka lahir serta membesar di Malaysia.
Beliau berkata, pendekatan sedemikian hanya memecahbelahkan rakyat dan bercanggah dengan ajaran Islam yang mengangkat martabat setiap manusia.
“Saya nak Melayu yang baik, Cina yang baik, India yang baik dan Orang Asli yang baik. Mereka semua sebahagian daripada keluarga saya,” katanya berucap pada Grand Finale Kekal Harapan Negeri Sembilan di Sikamat di sini malam ini.
Anwar turut mengimbau sejarah Islam apabila Rasulullah SAW mengangkat martabat Bilal Rabah walaupun berasal dari Habsyah sebagai bukti Islam menolak diskriminasi kaum.
“Malaysia hanya mampu menjadi negara maju sekiranya seluruh rakyat bersatu dan mengetepikan sentimen perkauman.
“Masyarakat sering membantu antara satu sama lain ketika ditimpa musibah tanpa mengira agama atau bangsa, ini membuktikan nilai kemanusiaan lebih penting daripada perbezaan kaum,” katanya.
Perdana Menteri itu juga menegaskan, Malaysia memerlukan kerjasama semua kaum untuk terus membangun dan menjadi sebuah negara yang berjaya.
“Politik kebencian hanya akan melemahkan negara sedangkan Malaysia mempunyai segala potensi untuk muncul sebagai antara ekonomi terbaik di rantau Asia,” katanya.
Menurut beliau, prestasi ekonomi negara kini semakin memberangsangkan apabila kadar pertumbuhan mencecah 5.8 peratus selain ringgit muncul antara mata wang berprestasi terbaik di Asia.
“Kejayaan ekonomi hanya bermakna sekiranya rakyat turut menikmati manfaat melalui peningkatan pendapatan dan kos sara hidup yang lebih terkawal,” katanya.
Anwar berkata, sebab itu kerajaan melaksanakan semakan gaji penjawat awam selepas lebih sedekad tidak disemak termasuk kenaikan minimum sebanyak tujuh peratus dengan kadar lebih tinggi bagi kumpulan bawahan.
“Kerajaan juga memotong gaji menteri sebagai tanda keutamaan diberikan kepada kebajikan rakyat. Kita perlukan Melayu, Cina dan India bekerja bersama. Kalau kita tidak berpakat, kita semua akan rugi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















