Calon Pakatan Harapan N.13 Sikamat, Nor Azman Mohamad bercakap kepada media selepas menyantuni penduduk sambil mengedarkan risalah manifesto kepada pengundi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 ketika di Kampung Ujong Pasir, Sikamat, Negeri Sembilan. Foto MOHD ADZLAN, 22 JULAI 2026.

SEREMBAN – Chegubard dicabar mengemukakan bukti kepada pihak berkuasa kononnya Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun didakwa mempunyai kaitan dengan sebuah syarikat dari China dalam projek pembangunan Pelabuhan Pintar dan kawasan perdagangan bebas (free zone) di Port Dickson.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Nor Azman Mohamad mengingatkan Chegubard supaya tidak sekadar melemparkan tuduhan bagi membentuk persepsi negatif menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri Negeri Sembilan, 1 Ogos ini.

Nor Azman yang juga calon Pakatan Harapan (PH) N.13 Sikamat berkata, sebarang dakwaan membabitkan salah laku atau penyelewengan perlu disertakan dengan fakta dan bukti yang kukuh sebelum dilemparkan kepada umum.

“Dakwaan tanpa asas bukan sahaja mengelirukan rakyat, malah mencerminkan budaya politik yang tidak sihat kerana cuba mempengaruhi pengundi melalui persepsi dan bukannya fakta.

“Kalau betul ada, sila dedahkan. Kalau benar ada bukti berlaku penyelewengan atau salah laku, laporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Ramai-ramai pergilah buat laporan,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Semalam, Chegubard mendakwa projek pembangunan Pelabuhan Pintar dan kawasan perdagangan bebas di Port Dickson mempunyai penglibatan syarikat dari China meskipun perkara itu dinafikan Menteri Besar Negeri Sembilan.

Chegubard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin mendakwa syarikat Midports Holdings Sdn Bhd yang ditubuhkan bagi melaksanakan projek tersebut mempunyai pegangan saham signifikan oleh sebuah syarikat dari China.

Nor Azman juga berkata, sekiranya dakwaan tersebut benar dan disokong bukti yang kukuh, sudah tentu ia telah lama didedahkan kepada pihak berkuasa bukan hanya dimainkan ketika tempoh berkempen.

“Kalau betul perkara itu berlaku, saya percaya sudah lama ia didedahkan tetapi sekarang ini hanya melambung-lambung isu tanpa bukti.

“Bagi saya, ini politik yang kotor. Ia hanya bertujuan menimbulkan persepsi negatif terhadap lawan politik,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya mengamalkan kempen yang matang dan bertanggungjawab serta mengelakkan penyebaran tuduhan yang tidak dapat dibuktikan.

Mengulas baki dua hari kempen, Nor Azman berkata, beliau memilih untuk terus memberi tumpuan kepada pertemuan dengan pengundi dan menyelesaikan isu yang dibangkitkan rakyat berbanding melayan dakwaan yang disifatkannya sebagai tidak berasas.

Nor Azman berkata, fokus utama pasukannya ketika ini ialah memastikan setiap lokaliti di DUN Sikamat disantuni sebelum tempoh berkempen berakhir.

“Kita hendak bercakap mengenai penyelesaian masalah rakyat, pembangunan dan kebajikan. Kalau ada salah laku, buktikan dan laporkan kepada pihak berkuasa.

“Itu lebih bertanggungjawab daripada melemparkan tuduhan tanpa bukti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast