Datuk Seri Anwar Ibrahim di DUN Chennah petang ini.

CHENNAH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sedang mengkaji untuk menambah peruntukan bagi program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dalam belanjawan akan datang sebagai usaha membantu rakyat berdepan peningkatan kos sara hidup.

Beliau berkata, walaupun kerajaan telah memperuntuk kira-kira RM16 bilion menerusi pelbagai inisiatif bantuan termasuk SARA dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) namun masih terdapat rakyat yang berdepan tekanan akibat kenaikan harga barangan.

Menurutnya, kerajaan menyedari cabaran itu berpunca daripada faktor luar termasuk konflik geopolitik yang menjejaskan rantaian bekalan dunia dan menyebabkan harga komoditi meningkat.

“Kita sudah belanjakan kira-kira RM16 bilion untuk membantu rakyat melalui SARA dan pelbagai bantuan lain. Tanya saya sama ada saya puas hati? Saya tidak puas hati kerana saya tahu harga barang masih menjadi masalah kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada program Minum Petang Bersama Perdana Menteri di Kampung Simpang Durian di sini hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, atas sebab itu kerajaan sedang meneliti ruang untuk meningkatkan lagi peruntukan SARA sekiranya kedudukan ekonomi negara terus bertambah baik.

“Dalam Belanjawan nanti, insya-Allah kalau keadaan ekonomi terus baik dan negara kekal aman, kita akan kaji untuk menambah lagi peruntukan SARA,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa berusaha memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dirasai terus oleh rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Dalam pada itu, Anwar menjelaskan, peningkatan harga beberapa barangan ketika ini turut dipengaruhi ketidaktentuan ekonomi global termasuk konflik di Asia Barat yang memberi kesan kepada harga minyak mentah dunia.

Katanya, serangan ke atas Iran dan ketegangan di sekitar Selat Hormuz telah menyebabkan kos penghantaran, insurans serta harga bahan mentah meningkat.

Beliau berkata, keadaan itu turut memberi kesan kepada harga baja yang diimport Malaysia sekali gus meningkatkan kos pengeluaran sektor pertanian.

Bagaimanapun, Anwar menegaskan, kerajaan masih berjaya mengekalkan harga RON95 pada kadar antara yang terendah di dunia melalui pemberian subsidi.

“Harga minyak dunia naik tetapi di Malaysia RON95 masih RM1.99 seliter. Jangan ada yang mendakwa kerajaan tidak membantu rakyat. Kita terus berbelanja besar untuk memastikan kos hidup rakyat dapat dikurangkan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan terus memantau perkembangan ekonomi semasa sebelum memuktamadkan langkah-langkah tambahan dalam Belanjawan bagi memastikan kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast