Tangkap layar foto yang tular memaparkan kemalangan maut di Lebuhraya Pasir Gudang menghala ke Perling, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Seorang operator kilang maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan di Kilometer 11, Lebuh Raya Pasir Gudang menghala ke Perling di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei berkata, kejadian itu berlaku pukul 4.45 petang ketika mangsa dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Pasir Gudang menuju ke rumahnya di Kulai.

“Siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal mangsa dipercayai cuba menyelit di antara sebuah treler dengan sebuah kenderaan lain di tengah kesesakan lalu lintas.

“Akibat ruang sempit dan trafik yang perlahan, mangsa hilang kawalan lalu terjatuh ke tengah jalan sebelum dilanggar sebuah treler,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Beliau berkata, akibat kemalangan tersebut mangsa yang berusia 23 tahun cedera parah di kepala dan tangan kanan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi oleh penolong pegawai perubatan.

Katanya, pemandu treler berkenaan dipercayai tidak sedar mengenai kemalangan terbabit dan meneruskan perjalanan tanpa berhenti.

Menurutnya, mayat dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini untuk tindakan lanjut, kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pihaknya sedang mengesan nombor pendaftaran serta pemandu mototreler terbabit, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil untuk membantu siasatan.

Tambahnya, saksi boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Dayang Aziemah Awang Sabeli 017-3064779 atau hadir ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast