Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pekerja sektor formal menerima median upah bulanan RM3,027 sebulan pada Mac 2026, menurut Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal), Suku Tahun Pertama 2026 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia.

Menurutnya, pasaran buruh Malaysia kekal berada pada landasan yang positif dengan pertumbuhan guna tenaga yang berterusan, mencerminkan peningkatan jumlah pekerja formal warganegara kepada 7.05 juta orang pada Mac 2026, iaitu pertumbuhan 3.8 peratus tahun ke tahun berbanding Mac 2025.

Mengikut jantina, pekerja formal lelaki yang merangkumi 55.0 peratus atau 3.88 juta orang daripada jumlah pekerja formal warganegara menerima median upah bulanan RM3,064 pada Mac 2026, lebih tinggi berbanding pekerja formal perempuan yang
menerima RM3,000.

Pekerja formal perempuan pula mewakili 45.0 peratus atau 3.17 juta orang daripada keseluruhan pekerja formal warganegara.

Statistik upah mengikut kumpulan umur menunjukkan pekerja formal berumur 45 hingga 49 tahun terus merekodkan median upah bulanan tertinggi sepanjang suku tahun pertama 2026 (Mac 2026: RM4,100; Februari 2026: RM4,145; Januari 2026: RM4,156).

Semua kumpulan umur mencatatkan pertumbuhan positif dalam median upah bulanan kecuali kumpulan umur di bawah umur 20 tahun pada Mac 2026.

Pertumbuhan tahun ke tahun tertinggi direkodkan dalam kalangan pekerja formal berumur 55 hingga 59 tahun, manakala median upah bulanan bagi pekerja berumur bawah 20 tahun kekal tidak berubah pada RM1,700 sejak Februari 2025.

Mengikut aktiviti ekonomi, sektor perlombongan & pengkuarian, hanya membentuk 0.5 peratus daripada keseluruhan pekerja formal warganegara, mencatatkan median upah bulanan tertinggi sebanyak RM9,678 pada Mac 2026.

Sebaliknya, sektor pertanian yang mewakili 1.8 peratus daripada pekerja formal mencatatkan median upah bulanan terendah pada RM2,327, menunjukkan pertumbuhan tahun ke tahun kepada 5.8 peratus dalam tempoh yang sama.

Kuala Lumpur mencatatkan median upah bulanan tertinggi pada RM4,527, diikuti Selangor iaitu RM3,445 dan Pulau Pinang iaitu RM3,064 pada Mac 2026.

Sementara itu, Kelantan, Perlis dan Sabah mencatatkan median upah bulanan terendah masing-masing sebanyak RM1,827, RM1,855 dan RM2,082.

Sebanyak 7.9 peratus daripada keseluruhan pekerja formal warganegara menerima upah bulanan bawah RM1,700 pada Mac 2026, menunjukkan pengurangan sebanyak 2.0 mata peratus berbanding Mac 2025.

Selain itu, analisis persentil menunjukkan 10 peratus pekerja formal Malaysia terendah menerima upah bulanan sebanyak RM1,700 atau kurang, manakala 10 peratus pekerja formal yang menerima upah bulanan tertinggi menerima sekurang-kurangnya RM11,500 sebulan.

Perbezaan ini menunjukkan pekerja pada persentil ke-90 menerima lebih daripada enam kali ganda upah daripada kumpulan upah terendah, menggambarkan jurang upah antara mereka yang berpendapatan tertinggi dan terendah, kata jabatan tersebut.

Tambahnya, secara keseluruhannya, pasaran buruh formal Malaysia terus menunjukkan prestasi yang kukuh dan berdaya tahan pada suku pertama 2026, disokong oleh pertumbuhan bilangan pekerja formal serta peningkatan median upah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast