Onn Hafiz melepaskan 'mud ball' dan beberapa ekor ikan ke dalam tasik di Hutan Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) Mutiara Rini, Iskandar Puteri.

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Johor memperuntukkan RM13 juta untuk membangunkan Laman Deria Pintar (Smart Sensory Park) di Hutan Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) Mutiara Rini di sini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, cadangan pembangunan itu dibuat sebagai inisiatif memperkukuh ruang hijau awam yang lebih moden, inklusif dan berkualiti demi kesejahteraan Bangsa Johor.

Jelasnya, transformasi tersebut melibatkan kawasan seluas lebih 24.28 hektar dalam usaha mencapai hasrat dan matlamat terus menaik taraf taman-taman di seluruh negeri ini sebagai ruang riadah yang lebih baik untuk rakyat.

Onn Hafiz diberi penerangan berkenaan projek membangunkan Laman Deria Pintar di Hutan Bandar MBIP Mutiara Rini, Iskandar Puteri

“Hutan Bandar MBIP Mutiara Rini akan menjadi sebuah taman rekreasi bertaraf moden yang bukan sahaja indah dan lestari, malah memenuhi keperluan semua lapisan masyarakat.

“Pembangunan laman ini akan merangkumi sembilan komponen utama seperti kawasan permainan, ‘waterplay’, kolam cetek, pavilion, ruang santai serta pelbagai kemudahan awam.

“Semua kemudahan ini dibangunkan berteraskan konsep ‘Universal Design’ bagi memastikan kanak-kanak, warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan seluruh keluarga dapat menikmatinya dengan selesa dan selamat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Onn Hafiz meninjau kawasan berkenaan dan turut melepaskan ‘mud ball’ dan beberapa ekor ikan ke dalam tasik sebagai usaha meningkatkan kualiti air, mengurangkan enapan serta bau, di samping memelihara biodiversiti dan keseimbangan ekosistem akuatik di kawasan itu.

Peruntukan RM13 juta untuk projek membangunkan Laman Deria Pintar di Hutan Bandar MBIP Mutiara Rini, Iskandar Puteri

Beliau turut meninjau Gym Muafakat Hutan Bandar MBIP yang kini dilengkapi sistem pendaftaran digital yang lebih moden.

“Inisiatif sistem baharu ini membolehkan pengguna merekod serta memantau perkembangan kecergasan mereka secara lebih sistematik pada kadar yang amat berpatutan iaitu hanya RM5,” katanya.

Onn Hafiz berharap pembangunan dilaksanakan dapat memastikan Hutan Bandar MBIP Mutiara Rini terus berkembang sebagai destinasi rekreasi pilihan rakyat Johor serta menjadi simbol keseimbangan antara pembangunan, kelestarian alam dan kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan negeri akan terus memperkasa pembangunan yang memberi nilai tambah kepada kehidupan rakyat menerusi penyediaan ruang awam yang berkualiti, lestari dan mesra komuniti,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast