Calon PH N.13 Sikamat, Nor Azman Mohamad berucap pada Grand Finale Kekal Harapan Negeri Sembilan DUN Sikamat di Pusat Perniagaan Betaria, Seremban. Foto SADIQ SANI, 29 JULAI 2026.

SEREMBAN – Calon Pakatan Harapan (PH) N.13 Sikamat, Nor Azman Mohamad mempersoalkan konsistensi Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) yang terus menyerang DAP sepanjang kempen PRN Negeri Sembilan.

Beliau berkata, Pas dan UMNO sendiri pernah mempunyai pengalaman bekerjasama dengan DAP sebelum ini.

Malah, katanya, DAP yang berada dalam kerajaan negeri Perak dan Pahang tidak pernah dijadikan isu kerana membantu membentuk kerajaan di negeri berkenaan.

“Kenapa DAP di Perak tak jahat? Kenapa DAP di Pahang tak jahat? Sebab DAP di Pahang dan Perak membolehkan mereka menjadi Menteri Besar.

“Tetapi di Negeri Sembilan, tiba-tiba DAP jadi terlalu jahat,” katanya ketika berucap pada Grand Finale Kekal Harapan Negeri Sembilan di Sikamat malam ini.

Menurut beliau, keadaan itu menunjukkan serangan terhadap DAP hanyalah modal politik bagi menakutkan pengundi.

“Pihak lawan tidak mempunyai hujah lain selain memainkan sentimen kaum dan agama,” katanya.

Dalam pada itu, kata Nor Azman, tawaran PH kepada rakyat Negeri Sembilan pada PRN kali ini dibina atas rekod pencapaian sepanjang hampir tujuh tahun mentadbir negeri itu.

Menurut beliau, kerajaan negeri bukan sahaja memperkukuhkan syiar Islam, malah memperkasa ekonomi masyarakat Melayu melalui pelbagai inisiatif.

“Antara program utama ialah Tabung Usahawan Negeri Sembilan yang menawarkan geran RM3,000 kepada usahawan bagi memulakan atau mengembangkan perniagaan, sebahagian besar penerima manfaat terdiri daripada usahawan Melayu.

“Kita mahu mengangkat ekonomi orang Melayu supaya mereka mampu bersaing. Ini antara bukti kerajaan negeri bukan sekadar bercakap, tetapi melaksanakan pelbagai program untuk rakyat,” katanya.

Katanya lagi, manifesto PH kali ini juga disandarkan kepada pencapaian kerajaan negeri sejak 2018.

“Saya menggesa rakyat menjadi pengundi yang rasional dengan menilai rekod pentadbiran serta tawaran masa depan, bukannya dipengaruhi sentimen yang dimainkan sepanjang kempen,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast