Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Grand Finale Kekal Harapan Negeri Sembilan di DUN Sikamat di Betaria Businesss Centre, Seremban, malam ini.

SEREMBAN – Tabung Haji kerugian sehingga RM12 bilion membuktikan berlakunya salah urus yang serius sehingga memerlukan siasatan menyeluruh oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji perlu dibaca secara menyeluruh oleh rakyat sebelum membuat sebarang kesimpulan.

Menurut beliau, kerajaan bersetuju mendedahkan sepenuhnya laporan berkenaan kerana rakyat berhak mengetahui kedudukan sebenar institusi itu.

“Dulu orang kata mana ada sakau, mana ada bukti. Baca laporan itu. RM10 bilion hilang, campur lagi RM2 bilion, jadi RM12 bilion,” katanya berucap pada Grand Finale Kekal Harapan Negeri Sembilan di Sikamat di sini malam ini.

Anwar berkata, wang berkenaan merupakan simpanan pendeposit termasuk golongan berpendapatan rendah yang menyimpan sedikit demi sedikit untuk menunaikan ibadah haji.

Beliau menegaskan, kerajaan tidak akan melindungi mana-mana individu sekiranya terdapat unsur jenayah.

“Siasatlah. Saya tidak campur. Yang siasat SPRM, polis, Bank Negara. Yang mendakwa bukan Perdana Menteri tetapi Peguam Negara dan yang menghukum ialah mahkamah,” katanya.

Menurut Anwar, kerajaan komited mempertahankan prinsip kedaulatan undang-undang tanpa mengira kedudukan mana-mana pihak dan rakyat jangan membenarkan budaya rasuah terus merosakkan negara.

“Negara ini cukup untuk keperluan semua rakyat tetapi tidak akan pernah cukup untuk ketamakan manusia,” katanya  memetik kata-kata Mahatma Gandhi.

Perdana Menteri itu juga menyeru rakyat menjadikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebagai medan menolak rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

“Negara mempunyai sumber yang mencukupi untuk menjamin kehidupan rakyat sekiranya kekayaan negara tidak diselewengkan oleh pihak yang tamak,” katanya.

Menurutnya lagi, budaya rasuah menyebabkan hasil negara, projek pembangunan malah dana institusi penting seperti Tabung Haji menjadi mangsa.

“Kalau semua mahu curi, mahu korup, dunia ini tidak akan pernah cukup untuk memenuhi ketamakan manusia,” katanya.

Anwar juga berkata, kerajaan pimpinannya berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang dengan menyerahkan sebarang siasatan kepada agensi penguat kuasa tanpa campur tangan politik.

“Saya menggesa pengundi memberi sokongan kepada calon PH bagi memastikan agenda reformasi, tadbir urus baik dan pembanterasan rasuah dapat diteruskan di Negeri Sembilan,” katanya lagi.

Malam ini laporan penuh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji dikeluarkan untuk bacaan orang awam. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Bayaran hibah yang tinggi penyumbang krisis kewangan TH – RCI

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Kerugian Skandal Forex BNM masa kau jadi Menteri Kewangan sebanyak $30 billion dan skandal Pelaburan KWAP di Indonesia sebanyak $200 juta kau senyap plak yer..sehingga hari ni tak de sesiapa pun yg didakwa..poodah

Comments are closed.