Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan bersama Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan beramah mesra bersama graduan yang hadir pada Program Karnival Kerjaya Premium MYFutureJobs anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 26 APRIL 2026.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 343,836 peluang pekerjaan berkaitan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ditawarkan melalui platform MYFutureJobs sepanjang Januari hingga 30 Jun dengan gaji purata RM3,658 sebulan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, malah dalam bidang-bidang tertentu, kadar gaji yang ditawarkan adalah lebih tinggi bergantung kepada pengalaman, lokasi pekerjaan serta pensijilan kompetensi yang dimiliki oleh graduan.

Keadaan itu menurut beliau, menunjukkan bahawa peningkatan kemahiran dan pensijilan profesional mampu membuka peluang kepada pendapatan yang lebih kompetitif.

“Peluang pekerjaan yang ditawarkan meliputi pelbagai sektor strategik termasuk pembuatan, automasi, kejuruteraan, penyelenggaraan, elektrik dan elektronik, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pembinaan, automotif, semikonduktor serta pengendalian mesin.

“Kepelbagaian sektor ini membuktikan bahawa graduan TVET mempunyai prospek kerjaya yang luas merentasi pelbagai industri berimpak tinggi yang menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebahagian graduan yang hadir pada Program Karnival Kerjaya Premium MYFutureJobs anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 26 APRIL 2026.

Ini dibuktikan melalui kisah Muhammad Faris Azim Baharin yang berjaya memperoleh penempatan pekerjaan sebagai Juruteknik bidang automotif di Syarikat Proton menerusi platform MYFutureJobs.

Ia menggambarkan bagaimana padanan pekerjaan yang tepat serta sokongan perkhidmatan pekerjaan PERKESO melalui MYFutureJobs mampu membantu pencari kerja membina kerjaya dalam bidang yang diminati.

“Saya bersyukur kerana dengan bantuan KESUMA melalui PERKESO dan MYFutureJobs, saya kini berjaya mendapatkan pekerjaan yang selari dengan minat dan kemahiran saya.

“Kepada mereka yang masih mencari pekerjaan, daftarlah di MYFutureJobs atau kunjungi Pejabat PERKESO berhampiran. Rezeki dan peluang kerjaya mungkin bermula dengan satu langkah itu,” katanya.

Sebahagian graduan yang hadir pada Program Karnival Kerjaya Premium MYFutureJobs anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 26 APRIL 2026.

MYFutureJobs dikendalikan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) membantu pelajar mengenal pasti pekerjaan yang sepadan dengan kemahiran, kelayakan, minat dan lokasi mereka.

Pelajar TVET juga boleh mendapatkan maklumat julat gaji, memahami keperluan majikan serta mengikuti program kerjaya dan temu duga terbuka melalui www.myfuturejobs.gov.my.

Bagi memastikan lebih ramai pelajar TVET mendapat akses kepada peluang kerjaya berkualiti, KESUMA melalui PERKESO akan terus memperluaskan capaian perkhidmatan MYFutureJobs menerusi pelbagai program kerjaya di institusi latihan, politeknik, universiti serta kampus Jabatan Tenaga Manusia (JTM).

Antaranya termasuk penganjuran Karnival Lindung Kerjaya MYFutureJobs di kampus ADTEC JTM dan Politeknik Sabak Bernam, yang memberi peluang kepada pelajar berinteraksi secara langsung dengan majikan serta memahami keperluan sebenar pasaran pekerjaan sebelum menamatkan pengajian. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast