SEREMBAN – Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung siasatan terhadap isu pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) yang didedahkan semalam tidak menemukan sebarang dapatan membuktikan berlakunya penyelewengan, kecurian atau ‘sakau’.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Jamil Khir Baharom menegaskan, laporan yang kini didedahkan kepada umum itu wajar dibaca secara menyeluruh.
Beliau berkata, ia kerana kandungan laporan RCI TH itu tidak menyokong dakwaan kononnya wang pendeposit Tabung Haji dirompak atau diselewengkan hingga menjadi polemik politik sejak 2018.
“Saya sendiri antara individu yang dipanggil memberi keterangan kepada RCI dan telah lama menantikan laporan berkenaan didedahkan supaya masyarakat dapat membuat penilaian berdasarkan fakta bukannya persepsi.
“Semalam, laporan itu akhirnya didedahkan kepada umum. Lebih 200 muka surat boleh dibaca oleh semua pihak.
“Apa yang saya ingin tekankan, walaupun sebelum ini banyak pihak bercakap mengenai kononnya berlaku ‘sakau’, curi duit dan rompak duit.
“Tetapi dalam dapatan RCI tidak ada satu pun yang menyebut berlaku sakau atau rompakan seperti yang didakwa,” katanya kepada pemberita di Wisma UMNO Negeri Sembilan di sini hari ini.
Jamil Khir juga berkata, dapatan RCI sebaliknya lebih menjurus kepada isu kedudukan liabiliti dan aset TH pada ketika itu serta kaedah pembayaran hibah kepada pendeposit.
“Perkara tersebut tidak seharusnya disalah tafsir sehingga menimbulkan tanggapan bahawa berlaku penyelewengan dana institusi kewangan Islam berkenaan,” katanya.
Mengulas lanjut, Jamil Khir berkata, isu TH kini kembali dimainkan dalam kempen Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16) Negeri Sembilan, sama seperti isu 1MDB yang menurutnya menjadi naratif utama ketika Pilihan Raya Negeri Johor sebelum ini.
Jelasnya, setiap pilihan raya mempunyai isu tersendiri yang digunakan untuk membentuk persepsi pengundi, namun beliau mengingatkan agar proses politik tidak dicampuradukkan dengan perjalanan institusi negara.
“Di Johor dahulu, isu yang dimainkan ialah 1MDB sehingga dikaitkan dengan pelbagai perkara termasuk proses perundangan.
“Hari ini di Negeri Sembilan pula kita melihat isu TH diketengahkan. Saya berpandangan kita perlu membezakan antara politik dengan urusan mahkamah, pihak berkuasa, penjara dan institusi negara. Semua itu tidak boleh dicampur-adukkan,” katanya.
Beliau turut mengimbau kembali bagaimana isu TH mula menjadi perhatian selepas pertukaran kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada Mei 2018 apabila pentadbiran baharu mengambil alih institusi tersebut.
Menurutnya, ketika itu RCI diwujudkan bagi menyiasat beberapa perkara berkaitan pengurusan TH namun laporan berkenaan hanya didedahkan kepada umum selepas beberapa tahun.
“Sebelum ini ada penjelasan bahawa pendedahan laporan ditangguhkan kerana bimbang akan memberi kesan kepada keyakinan pendeposit sehingga boleh mencetuskan panik.
“Hari ini apabila laporan sudah dibuka kepada umum, semua pihak sepatutnya membaca sendiri kandungannya dan membuat penilaian secara adil,” katanya.
Jamil Khir berkata, sepanjang memegang portfolio Hal Ehwal Agama, segala urusan pengurusan TH sentiasa tertakluk kepada Akta Tabung Haji dan diaudit oleh Jabatan Audit Negara.
Beliau menegaskan, audit rasmi yang menjadi rujukan institusi itu ialah audit Jabatan Audit Negara manakala firma audit antarabangsa seperti Ernst & Young hanya digunakan bagi memenuhi keperluan operasi dan pelaburan di luar negara.
“Ramai yang keliru mengenai perkara ini. Audit yang sah di sisi undang-undang ialah audit Jabatan Audit Negara.
“Dari 2009 hingga 2017, TH menerima audit bersih setiap tahun. Itu menjadi pegangan kita sepanjang tempoh pentadbiran ketika itu,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, isu pembayaran hibah kepada pendeposit yang disentuh dalam laporan RCI tidak membawa maksud wang tersebut disalurkan kepada mana-mana individu tertentu.
Sebaliknya, katanya, hibah diagihkan kepada pendeposit sebagai pulangan simpanan selain digunakan bagi menampung subsidi kos ibadah haji untuk rakyat Malaysia.
“Hibah itu bukan pergi kepada ahli lembaga atau mana-mana pemimpin. Ia dipulangkan kepada pendeposit dan sebahagiannya digunakan bagi membantu subsidi ibadah haji. Itu yang perlu difahami oleh masyarakat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap masyarakat tidak lagi membuat kesimpulan berdasarkan dakwaan yang tersebar di media sosial atau naratif politik semata-mata sebaliknya meneliti sendiri kandungan penuh laporan RCI.
“Saya berharap rakyat membaca sendiri laporan tersebut. Jangan hanya mendengar cakap orang atau mengambil petikan tertentu sehingga membentuk persepsi yang tidak tepat.
“Yang paling penting, jangan sampai institusi TH Haji menjadi mangsa permainan politik kerana akhirnya yang akan terkesan ialah jutaan pendeposit yang meletakkan kepercayaan kepada institusi ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















