Mejar Jeneral Ali Abdollahi, foto IRNA

TEHRAN – Komander tertinggi Markas Pusat Khatam al-Anbiya Iran berkata, Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya kini menyedari bahawa “keranda” menjadi sebahagian daripada kelengkapan ketenteraan mereka di rantau Asia Barat.

Dalam satu kenyataan yang dipetik agensi berita IRNA, Mejar Jeneral Ali Abdollahi menegaskan, era serangan pantas tanpa menerima sebarang tindak balas telah berakhir.

“Hari ini, Amerika dan sekutunya benar-benar menyedari keranda merupakan sebahagian daripada kelengkapan mereka di rantau ini,” katanya.

Beliau turut mengulangi kenyataan yang dikaitkan dengan bekas Pemimpin Revolusi Islam Iran, Ayatollah Seyyed Ali Khamenei bahawa zaman melakukan serangan dan kemudian berundur tanpa akibat sudah berakhir.

Abdollahi, yang mengetuai markas operasi tertinggi Iran bagi menyelaras angkatan tentera negara itu sebelum ini beberapa kali memberi amaran kepada Washington serta sekutunya, termasuk Israel, agar tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan.

Kenyataan terbaharunya dibuat ketika ketegangan di Asia Barat terus memuncak susulan konflik melibatkan Iran, Israel dan Amerika Syarikat, termasuk serangan yang didakwa mengorbankan Ayatollah Seyyed Ali Khamenei pada 28 Februari serta pertikaian berhubung kehadiran tentera AS di rantau berkenaan.

Pegawai tentera Iran berulang kali menegaskan, kehadiran tentera AS dan sekutunya di Asia Barat hanya akan meningkatkan risiko serta kos kepada pihak yang melancarkan serangan, sambil menegaskan bahawa keteguhan rakyat Iran dan kumpulan yang digelar “Paksi Penentangan” (Axis of Resistance) terus menjadi faktor utama dalam menghadapi tekanan tersebut. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast