KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyeru golongan muda di Negeri Sembilan untuk keluar menunaikan tanggungjawab mengundi esok bagi menentukan hala tuju dan masa depan pentadbiran kerajaan negeri.

Naib Ketua AMK Malaysia, Nabil Halimi berkata, Negeri Sembilan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) bukan sahaja menjamin kemajuan serta pertumbuhan pelaburan, malah memastikan setiap hasil perolehan negeri disalurkan secara terus kepada rakyat, khususnya anak muda.

Menurutnya, pengundi muda diyakini mampu menilai secara bijak prestasi cemerlang kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sepanjang penggal lalu.

“PH menampilkan barisan calon yang seimbang merangkumi pemimpin Melayu-Islam dan bukan Melayu daripada pelbagai latar belakang agama, korporat serta profesional untuk terus memimpin negeri ini.

“Anak muda pasti mengingati bagaimana pentadbiran ‘Tok Min’ (Aminuddin) yang sentiasa menjaga kebajikan bermula dari peringkat sekolah, bantuan perniagaan, lesen memandu hinggalah ke menara gading,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, pelbagai inisiatif khusus telah dilaksanakan PH bagi meringankan beban serta membantu pembangunan sosioekonomi belia di Negeri Sembilan.

“Antara inisiatif utama yang dirasai terus oleh golongan berkenaan termasuk Bantuan Sara Hidup Mahasiswa sebanyak RM100 sebulan kepada pelajar B40, Biasiswa Anak Negeri untuk pelajar cemerlang kurang mampu serta Baucar Lesen Motosikal Belia B40.

“Kerajaan negeri juga turut menyediakan Insentif Perkahwinan Belia, Rumah Harapan Rakyat, program Siswazah Tani dan Petani Muda, serta Tabung Usahawan Negeri Sembilan (TUNS),” katanya lagi.

Tambahnya, kestabilan serta pencapaian Keluaran Dalam Negara Khas (KDNK) dan hasil pelaburan tinggi yang dicapai Negeri Sembilan adalah bukti kerja keras kerajaan negeri bersama seluruh tenaga kerja di negeri berkenaan.

PRN Negeri Sembilan ke-16 menyaksikan lebih 200,000 pengundi muda dan dijangka menjadi antara faktor penentu yang bakal mempengaruhi parti mana yang berhak membentuk kerajaan negeri.

Dengan jumlah keseluruhan pemilih berdaftar sebanyak 889,490 di seluruh negeri, kelompok pengundi muda ini bukan sahaja tertumpu di kawasan bandar, malah membentuk segmen signifikan di kerusi majoriti Melayu serta kerusi campuran yang lazimnya menjadi medan persaingan sengit antara parti bertanding. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast